Ibrahim (dua, kanan) yang kini dijaga anak dan isteri terharu ketika dikunjungi Khamsiah (berdiri, tiga kanan) dan Faizah (tiga, kanan) dalam lawatan rumah ke rumah sempena Program Sehari Bersama Warga Seberang Batu Hampar, semalam.
Siti Hajar Ibrahim, 34, berkata, dia mengambil keputusan berhenti selepas 12 tahun bekerja setelah ayahnya, Ibrahim Salleh, 72 mulai sakit sejak 2010 dan disahkan menghidap strok tahap dua pada 2011.
Menurutnya, biarpun sedar bakal kehilangan pendapatan bulanan sekitar RM1,300 sebulan, dia yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik harus berkorban bagi memastikan bapanya mendapat penjagaan sewajarnya.
"Mak, Rahimah Hasan aktif dalam aktiviti kampung dan mencari pendapatan sampingan dengan kemahiran mengurut.
"Memang saya kini tiada pendapatan bulanan, namun apabila mengenangkan pengorbanan abah yang hanya bekerja sebagai tukang kayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membesarkan saya sehingga tamat persekolahan
menyebabkan saya hanya menyerahkan kepada ALLAH SWT berkaitan masa depan saya," katanya ketika ditemui sempena Program Sehari Bersama Warga Seberang Batu Hampar di Masjid Kariah Batu Hampar, dekat sini, semalam.
Pada program anjuran bersama Penel Penasihat/ Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan (KK) Rembau dan Masyarakat Kelab Kebajikan dan rekreasi (KeK-R) berkenaan, sebanyak 30 sumbangan disampaikan termasuk lima sumbangan
rumah ke rumah bersama pakar perubatan ke rumah pesakit kronik.
Turut hadir, Pegawai Perubatan 2 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rembau, Dr Faizah Osman; Pegawai Perubatan KK Rembau, Dr Khamsiah Ujang dan Nazir Masjid Kariah Seberang Batu Hampar, Zakaria Ma’mor.
Sementara itu, Khamsiah berkata, program berkenaan merupakan sebahagian usaha pihaknya menerapkan kesedaran dalam kalangan masyarakat kepentingan menjaga kesihatan dan melakukan pemeriksaan secara konsisten.
Menurutnya, kunjungan seumpama ini sememangnya dilakukan dari masa ke semasa di mana sepanjang tahun lalu sahaja kita mempunyai kira-kira lapan pesakit terlantar yang menerima rawatan di rumah.
“Malah, kita harap usaha seperti ini akan mendapat sokongan dan kerjasama masyarakat setempat yang mana sasaran kita agar mereka memahami kepentingan penjagaan kesihatan ini mengikut panduan yang kita berikan melalui ceramah kesihatan," katanya.


0 Komen