Rahsia sebalik pencuri telefon
Barangan termasuk senjata milik suspek yang dirampas.
Rahsia sebalik pencuri telefon
Hamzah (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jempol, Asisten Superintedan Mohd Yazed Mohd Serah (dua, kiri) dan Pegawai Risikan & Operasi JSJ IPD Jempol,Inspektor Muzaffar Mohd Wali menunjukkan beberapa senjata ditemui di rumah suspek terbabit.
JEMPOL - Bermula dengan kes mencuri sebuah telefon bimbit pintar di sebuah kedai di pekan Bahau, dekat sini, membongkar kegiatan seorang lelaki yang dipercayai terlibat kegiatan jenayah lebih besar.

Kejadian bermula kira-kira 11 pagi kelmarin, apabila seorang pemandu lori berusia 20-an dikesan mencuri telefon berkenaan menerusi rakaman kamera litar tertutup kedai terbabit.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hamzah Alias berkata, kejadian disedari seorang pekerja kedai berkenaan apabila mendapati sebuah telefon bimbit jenis Sony yang dipamerkan hilang.

Beliau berkata, pekerja berkenaan kemudian memeriksa CCTV kedai terbabit dan mendapati seorang lelaki mencuri telefon tersebut ketika dia sedang sibuk melayan pelanggan.

“Pekerja itu kemudian membuat laporan polis selepas menutup kedai telefon sekitar 11.20 malam pada hari sama," katanya.

Difahamkan, pekerja itu mengecam suspek berkenaan menyebabkan polis mudah untuk membuat siasatan.

Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah yang dipercayai didiami suspek terbabit di Bandar Seri Jempol, sekitar 3 pagi semalam.

“Bagaimanapun, hasil serbuan di rumah suspek, polis turut menjumpai pelbagai senjata tajam termasuk yang tiruan serta beberapa barang lain dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah lain sekitar daerah ini," katanya.

Menurutnya, antara senjata yang ditemui di rumah suspek adalah empat bilah pedang samurai, selain masing-masing satu pistol angin semi automatik C02 A, pistol tiruan berupa pemetik api serta T-Baton buatan sendiri.

"Turut dijumpai, masing-masing dua pistol tembak ikan, set walkie talkie, pisau Rambo serta 10 kelongsong peluru berukuran 5.56 milimeter.

“Polis turut menjumpai semula telefon bimbit pintar yang dicuri dari kedai telefon bimbit itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, dekat sini semalam.

Hamzah berkata, suspek ditahan dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat 1971), Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan letupan dan senjata berbahaya 1958, dan Sekyen 7 (1) kesalahan berhubung dengan senjata dijadual.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) bagi melengkapkan siasatan. Polis masih menjalankan siasat terperinci berhubung kes berkenaan, termasuk kemungkinan suspek terlibat kes jenayah lain," katanya.