Awaludin (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada Aisyah sambil diperhatikan Naemah (kanan) pada Program Ziarah Ramadan PPD Rembau di Rumah Rakyat Chengkau, semalam.
Nasib salah seorang daripada tiga beradik berkenaan, Mohamad Iqmal Hafeez Ismail, 11, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bongek mendapat perhatian Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Rembau melalui Program Ziarah Ramadan yang masuk tahun keempat perlaksanaannya.
Nenek tiga beradik berkenaan, Aisyah Abdullah, 58, berkata, tiga cucu berkenaan kini menetap di rumahnya setelah anak sulungnya Ismail Hassan, 42, pulih dari sakit dipercayai terkena buatan orang.
“Selama tujuh tahun saya berikhtiar mengubati anak secara kampung dan pada tahun lalu penyakit anak saya ini beransur pulih. Setelah pulih, anak saya membawa tiga anaknya menetap bersama saya bagi memastikan ketiga-tiga anaknya ini dapat meneruskan persekolahan di sini.
“Malah, saya juga sangat berharap ketiga-tiga cucu saya ini akan dapat terus menyambung persekolahan mereka memandangkan 12 tahun lalu selepas kematian suami akibat kemalangan, anak bongsu saya hanya mampu belajar sehingga ke tingkatan tiga sahaja,” katanya.
Aisyah berkata, jika diikutkan 12 tahun lalu, tiada bantuan dapat disalurkan kepadanya bagi membesarkan anak-anak, namun pada masa kini senario berkenaan berubah apabila terdapat banyak bantuan yang ditawarkan kerajaan bagi individu memerlukan.
Menurutnya, atas dasar itu, anak sulungnya memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bantuan persekolahan anak-anaknya kerana anaknya kini hanya bekerja kontrak sahaja berbanding dengan kerjayanya semasa sihat dahulu iaitu sebagai seorang anggota polis.
“Namun disebabkan saya juga menerima bantuan JKM dan Baitulmal sejak 2007 kerana masalah sakit di bahagian leher sehingga terpaksa menjalani pembedahan sebanyak dua kali, cucu-cucu saya tidak berpeluang menerima bantuan berkenaan.
“Kalau boleh saya memang harap sangat dapat bantuan berkenaan. Malah, saya sangat berterima kasih kerana sempena Ramadan ini pihak PPD dan wakil rakyat datang terlebih dahulu menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga, " katanya.
Pada program itu, Speaker Dun yang juga Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said hadir bagi menyampaikan bantuan kepada lapan penerima di Dun berkenaan diiringi Pegawai Pelajaran Daerah Rembau (PPD), Datin Naemah Ahmad Dahalan.
Pada tahun ini program berkenaan membabitkan 40 penerima di daerah berkenaan di mana 20 penerima adalah dari sembilan buah sekolah di Dun Kota.


0 Komen