Anggota JPAM menangkap ular di bawah rak kasut.
Pemilik anjing, K. Selvi, 32, berkata, anjingnya menyalak berkali-kali sekitar jam 9.30 pagi dan dalam keadaan seperti memberi isyarat bahawa ada bahaya di sekitar kawasan rumah.
“Saya dan suami kemudiannya memeriksa sekitar rumah dan meninjau di kawasan yang diperhatikan anjing ketika dia menyalak itu. Saya ternampak sesuatu bergerak-gerak berwarna hitam di bawah rak kasut di rumah jiran sebelah.
“Selepas diteliti berulang kali saya yakin itu adalah ular yang saiznya agak besar dan terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Port Dickson bagi tindakan kecemasan dan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian kelmarin.
Selvi berkata, ketika kejadian, jirannya sepasang suami isteri muda tiada di rumah.
“Selepas menghubungi JPAM, saya segera menghubungi mereka (jiran) memaklumkan kejadian tersebut.
“Kawasan ini berhampiran dengan ladang kelapa sawit dan ular memang sering muncul di kawasan perumahan ini malah sudah beberapa kali rumah penduduk di sini dimasuki ular. Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan kami memandangkan ular yang masuk adalah dari jenis yang berbisa dan berbahaya seperti ular tedung,” katanya.
Sementara itu, pemilik rumah, Shahril Sharif, 27, dia baru menghuni rumah berkenaan kira-kira enam bulan lalu dan ini merupakan kejadian pertama yang berlaku.
“Ketika dimaklumkan kejadian ini, saya bersama isteri berada di Port Dickson dan segera kembali ke rumah kerana khuatir sesuatu yang lebih buruk akan berlaku.
“Saya berterima kasih kepada jiran yang prihatin kerana kalau tidak, mungkin boleh membahayakan keselamatan kami yang hanya tinggal berdua sahaja,” katanya yang bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Pilah.
Seramai empat anggota JPAM terlibat dalam operasi kecemasan ini dan hanya mengambil masa kurang lima minit bagi menangkap ular jenis tedung senduk yang panjangnya kira-kira satu meter.


0 Komen