-
- Norfizah membetulkan lapisan sokongan yang dipakai pada tangan anaknya yang lemah akibat diserang strok Jun lalu.
Selama lebih setahun ini, Nur Haswani perlu bergantung hidup dengan menjalani rawatan cucian kedua-dua buah pinggangnya.
Setiap penjagaan dan keperluan Nur Haswani dalam menjalani rawatan selain perbelanjaan mencecah RM400 setiap bulan, telah diselia sempurna ibunya yang cekal menempuh dugaan dengan dibantu ahli keluarga yang lain biarpun hanya berpendapatan sederhana.
Norfizah yang bekerja swasta berkata, memikirkan nasib dan masa depan anak keduanya itu, memang meruntun jiwanya.
“Saya sebak sangat, tidak tahulah macam mana nasib dia kalau saya dah tiada. Tetapi perkara ini saya tidak pernah timbulkan pada Nur Haswani, walaupun pada hakikatnya satu hari nanti ia pasti akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian dekat sini.
Beliau berkata, ketika dimaklumkan mengenai keadaan Nur Haswani selepas doktor mengesahkan Hp darahnya rendah, dan kedua-dua buah pinggangnya tidak berfungsi dengan baik, dia amat terkejut.
“Saya sangat terkejut, Memang dalam ahli keluarga tidak ada yang mengalami masalah seperti ini tetapi akhirnya saya terpaksa redha dengan ketentuan ALLAH SWT.
“Kini keadaan kedua-dua buah pinggang Nur Haswani berada pada tahap kritikal dan anak saya terpaksa bergantung hidup dengan membuat rawatan cucian daripada hos air cucian yang dibekalkan hospital sebanyak empat kali dalam sehari,” katanya.
Kata ibu kepada empat orang anak itu, sebelum Nur Haswani disahkan mengalami penyakit buah pinggang ini, dia merupakan anak yang aktif dan banyak membantunya dalam membuat kerja-kerja rumah, tetapi sekarang anak gadisnya itu tidak mampu aktif seperti dahulu kerana dia akan mudah diserang strok. Dunianya hanya di rumah tidak seperti remaja lain.
“Kali terakhir Nur Haswani diserang strok pada Jun lalu, menyebabkan dia ditahan wad selama tiga minggu. Sekarang ini tangan kanannya lemah akibat diserang strok dan perlu menjalani fisioterapi seminggu sekali di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi memulihkan kembali pergerakan tangannya,” katanya.
Norfizah memberitahu, ketika ini dia dan anaknya menunggu masa yang sesuai untuk melakukan pembedahan untuk pemindahan buah pinggang.


0 Komen