Bayi disuntik tiga kali sehari
Aner memungut barang kitar semula untuk dijual bagi menampung perbelanjaan harian.
Bayi disuntik tiga kali sehari
Anita melayani anaknya yang dipanggil Kintan.
BAHAU - "Saya sudah tidak sanggup lagi untuk menyuntik bayi saya setiap kali dia ingin membuang air besar," luah ibu kepada seorang bayi berusia 14 bulan yang dipercayai sukar membuang air besar kerana saluran usus besarnya mengecil sejak dilahirkan.

Anita Mahmud, 32, berkata, dia perlu menyuntik anaknya, Qaseh April Adreena Aner lebih kurang tiga kali sehari bagi membuang najisnya.

Menurutnya, anaknya yang lebih mesra dipanggil Kintan juga kerap pengsan dan kadangkala tidak membuang air besar hampir sebulan.

"Kintan sukar membuang air besar selepas 40 hari dilahirkan dan ketika itu doktor mengesahkan dia mengalami masalah sembelit serta saluran usus besarnya mengecil.

"Ketika itu, doktor menyarankan agar Kintan dibedah, namun saya tidak sanggup melihat dia dibedah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Penarikan di sini, semalam.

Anita berkata, kini dia dan suaminya, Aner Nekmak, 40, mengharapkan inisiatif rawatan perubatan lain selain pembedahan.

"Saya bimbang jika Kintan dibedah, keadaan kesihatannya akan menjadi lebih teruk.

"Jika ada cara lain, saya sanggup mencubanya asalkan bukan pembedahan,” katanya.

Dia berkata, walaupun sakit, anaknya seorang yang lincah, namun sering merengek kerana rasa tidak selesa di bahagian perut.

"Jika dalam tempoh tiga hari Kintan tidak membuang air besar, saya akan membawanya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi menampung kos perubatan anaknya, dia menjual sayur-sayuran yang ditanam di kawasan rumah sewanya.

"Kintan perlu minum susu formula, namun dengan pendapatan suami yang bekerja sambilan, kami terpaksa mencari inisiatif lain termasuk menjual barang kitar semula," katanya.

Sementara itu, Aner berkata, anaknya kurang makan dan hanya bergantung kepada susu formula itu.

"Oleh itu, diharap ada pihak sudi membantu meringankan perbelanjaan rawatan mahupun keperluan Kintan.

"Kami juga masih mengharapkan rawatan cara lain supaya Kintan sihat seperti bayi lain,” katanya.