SEREMBAN - Anggota Dewan Undangan  Negeri (Adun) Kota, Datuk Dr Awaludin Said dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang baharu pada persidangan pertama (khas) penggal pertama Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
      
Awaludin, 52, menggantikan Datuk Razak Mansor.
  
Pelantikan Awaludin dicadangkan Menteri Besar yang juga Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan dipersetujui sebulat suara oleh semua Adun lain.
      
Awaludin kemudian mengangkat sumpah anggota Dewan dan diikuti 35 Adun yang lain dengan diketuai Menteri Besar.
      
Adun Kota itu yang berkelulusan sarjana perubatan dan pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya juga ialah Naib Ketua Umno Bahagian Rembau.

Dalam ucapannya selepas majlis angkat sumpah itu, Awaludin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar dan semua Adun yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memikul tanggungjawab itu.
  
"Ini ialah amanah besar yang perlu saya tunaikan. Saya  berjanji akan mencuba sedaya upaya untuk mengendalikan dewan yang  mulia ini dalam keadaan teratur dan baik. Saya harap semua ahli yang berhormat supaya mengikut peraturan dewan yang ditetapkan.
  
"Dewan ini merupakan satu dewan yang mulia dan kita harap supaya semua ahli yang berhormat dapat mempelajari selok-belok untuk berbahas membincangkan isu-isu dan membawa perkara berkenaan negeri ini, terutama isu yang melibatkan masalah rakyat supaya ia dapat dibahaskan dan dapat dibawa dan dicatitkan serta diambil tindakan oleh kerajaan. Marilah kita (Adun) menyampaikan hasrat besar rakyat melalui dewan yang mulia ini," katanya.
  
Sementara itu, Mohamad berkata pelantikan Dr Awaludin berdasarkan pengalamannya yang luas dan beliau yakin Dr Awaludin akan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan menguruskan perjalanan persidangan dewan pada masa akan datang dalam keadaan yang tenteram dan harmoni.
  
Pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, Barisan Nasional (BN) memenangi  22 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan di Negeri Sembilan. Baki 14 lagi kerusi dimenangi pembangkang iaitu 11 oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (tiga).
      
Bagi kerusi parlimen pula, BN menang lima daripada lapan kerusi yang dipertandingkan iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. DAP pula memenangi kerusi parlimen Seremban dan Rasah manakala PKR kerusi Telok Kemang.  - Bernama