R. Parameshwaran, 37, berkata, masalah berkenaan mulai timbul apabila pada 28 Mei lalu, bapanya, K. Rasiah, 73, menerima notis pertama daripada pihak pengurusan Felda supaya mengosongkan kawasan projek berkenaan.
Menurutnya, dia sudah banyak membuat pelaburan bagi mengusahakan projek ternakan kambing atas tanah seluas kira-kira 3 hektar setelah diberikan kelulusan menggunakannya pada 2007.
"Apabila bapa saya berjaya mendapatkan tanah rezab di kawasan Felda ini pada 2007, saya berhenti kerja di luar negara untuk pulang ke sini menjayakan projek ternakan kambing, tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan berkenaan.
"Saya juga membuat pinjaman dari dua institusi kewangan dengan jumlah keseluruhan RM100,000 yang mana jumlah berkenaan tidak termasuk kadar bunga dikenakan," katanya.
Menurutnya, semasa diberikan persetujuan, Felda tidak memberikan penerangan jelas menyatakan kemungkinan tanah berkenaan akan diambil semula, sebelum beliau membuat pelbagai kelengkapan.
Bagaimanapun, katanya, ekoran notis pertama diterimanya sebelum ini, dia terpaksa memindahkan secara berperingkat 200 ekor kambing dan 70 ekor lembu ke kawasan kandang rakannya yang terletak di Melaka.
“Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan memandangkan Felda sudah pun memberikan ayah saya notis kedua, Rabu lalu bagi mengosongkan tapak projek.
Saya tahu projek ini penting buat generasi kedua, tetapi saya juga tidak dapat mengelak dari berasa gusar terpaksa tanggung kerugian ratusan ribu ringgit.
"Untuk pindahkan ternakan dan sewa kandang juga saya sudah kehabisan hampir RM8,000," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Berikutan itu, Parameshwaran berharap pihak Felda memberi jalan penyelesaian terbaik termasuk pampasan berikutan kerugian terpaksa ditanggung mencecah RM700,000.
"Jumlah itu tidak termasuk jumlah atas keuntungan tanaman getah serta kelapa sawit yang tidak dapat dikuti hasilnya oleh saya dalam tempoh 20 tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, Pengurus FBRU, Abd Jalal Ajat berkata, pihaknya sudah sedia maklum mengenai perkara itu dan akan mengetengahkan kes kepada pihak pengurusan atasan.
Menurutnya, pihaknya mengenal pasti daripada 34 nama peneroka, hanya lapan peneroka yang giat menjalankan projek atas tanah berkenaan dan ia bergantung kepada keputusan pihak atasan.
“Notis yang diberikan adalah peringatan kepada peneroka terlibat untuk mengosongkan tanah dalam tempoh 21 hari. Bagaimanapun, bagi tujuan pemberian pampasan ataupun sebarang langkah penyelesaian adalah keputusan pihak atasan, " katanya.
0 Komen