'Kami orang susah, tak ada kerja'
Almari bilik diselongkar penjenayah berkenaan. Gambar kecil: Surekah menunjukkan bahunya yang lebam akibat dipukul dengan senjata tajam.
SEREMBAN – “Kami orang susah, tak ada kerja lain. Itu sebab buat kerja ini.” Itu jawapan lima penjenayah ketika menyamun sebuah rumah di Taman Sri Loop, di sini, kelmarin.

Salah seorang penjenayah berkata demikian ketika ditanya mangsa, Surekah Nair 47, selepas melihat tindakan agresif kesemua penjenayah yang menyamun mangsa serta tiga anaknya.

Kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu berlaku ketika Surekah yang juga seorang guru sekolah sedang membersihkan garaj rumah, sebelum masuk sekejap ke dalam rumah untuk meletakkan kunci rumah tanpa menutup pintu pagar.

Menurutnya, secara tiba-tiba lima lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta Proton Saga putih menceroboh masuk.
“Suspek kesemuanya bersenjatakan pedang samurai itu kemudian menyuruh saya diam sebelum menolak dan mengheret saya masuk ke dalam rumah. Salah seorang daripada mereka memukul bahu kiri dan jari saya sehingga cedera,” katanya.
Surekah berkata, ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana pergi ke pasar.

“Dua anak perempuan saya ketika itu berada di bilik tingkat atas, manakala anak lelaki saya berusia 16 tahun berada di bilik tingkat bawah. Mereka tidak tahu apa yang berlaku sehinggakan suspek memasuki dan memeriksa ke dalam bilik mereka,” katanya.

“Saya turut serahkan rantai emas kahwin ‘thali’ yang dipakai dan juga cincin. Tapi penjenayah itu menggertak kami supaya memberi barangan berharga lain sebelum mereka menyelongkar barangan dalam bilik,” katanya.

Menurutnya, dia kerugian hampir RM6,000 dan laporan dibuat di Balai Polis Rahang.