Kejadian berlaku kira-kira 4.30 pagi di kilometer 10 Jalan Kuala Pilah – Batu Kikir, ketika Nurhishyam Omar, 24, memandu kereta jenis Honda seorang diri dari arah Kuala Pilah menghala ke Batu Kikir.
Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu dan masuk ke parit berhampiran.
Saksi kejadian, J. Sathi Veel, 30-an, berkata, dia terkejut apabila mendengar dentuman yang kuat di hadapan rumahnya.
“Kira-kira 3.50 pagi, saya belum tidur kerana baru saja pulang dari menoreh getah dan sedang menonton televisyen. Beberapa minit kemudian, saya terdengar bunyi kereta membrek diikuti dengan satu bunyi dentuman yang kuat.
"Saya bergegas keluar dan mendapati sebuah kereta terjunam ke dalam longkang di hadapan rumah saya dan melanggar tiang lampu,” katanya.
Menurutnya, dia bersama jiran membantu mangsa keluar dari tempat pemandu sementara menunggu pihak berkenaan tiba.
“Saya lihat mangsa cedera parah tetapi masih sedarkan diri. Jadi dengan bantuan orang ramai, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) selepas mengumpulkan segala dokumen penting,” katanya.
Sementara itu, mangsa mengalami cedera parah dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN.
Mangsa merupakan seorang anggota tugas Am di Balai Polis Bandar Baru Seri Jempol.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim, mengesahkan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 Komen