'Ini bukan surat dari saya...'
Yahaya menunjukkan laporan polis yang dibuat pada 14 Jun lalu.
REMBAU – Seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini terkejut dan kecewa apabila mendapati ada pihak tertentu cuba memalsukan dokumen dan menanda tanganinya bagi pihak dirinya.

Yahaya Othman, selaku Pengerusi JKKK Kampung Sungai Timun berkata, perkara berkenaan terbongkar apabila pihak pejabat daerah menghubunginya pada 14 Jun lalu bagi bertanyakan mengenai dokumen bertarikh 2 Jun berkaitan permohonan perhatian bagi kerja perlombongan berhampiran Sungai Timun.

Beliau yang terkejut dengan perkara itu kemudian bersama kakitangan pejabat daerah meninjau lokasi dimaksudkan di kawasan Penjemuran Buaya Sungai Dua, iaitu kawasan JKKK berkenaan.

“Saya tertanya-tanya apa motif sebenar pihak ini menggunakan nama saya dalam permohonan berkenaan lebih-lebih lagi di bawah tandatangan 'bagi pihak' surat berkenaan dengan jelas pihak berkenaan membuat sali-nan kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Malah, lebih membuatkan saya kesal, pihak berkenaan begitu teratur menyediakan surat rasmi menggunakan kepala surat seolah-olah dari saya.

Ia turut memaparkan nombor fail bagi surat berkenaan,” katanya ketika di kediamannya di Kampung Sungai Timun, di sini, semalam.

Yahaya berkata, berikutan itu, beliau membuat laporan polis pada petang 14 Jun lalu selepas dinasihatkan untuk berbuat demikian bagi tujuan melindungi diri.

Malah, Yahaya turut menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan langsung dengan permohonan dokumen palsu berkenaan.

“Saya kesal dengan masalah ini yang mana saya jangka ia mungkin untuk memburuk dan menjatuhkan saya sebagai ketua kampung lebih-lebih lagi jawatan ini akan berakhir penghujung Jun ini bagi pemilihan baru.

“Saya  memegang jawatan ini sejak lima tahun lalu dan cara ini benar-benar sangat tidak betul untuk menjatuhkan saya.

Jika diikutkan, setiap dokumen rasmi dari saya adalah berlainan dari dokumen palsu ini dan saya juga menyimpan surat mengikut nombor fail bagi memudahkan semakan.

Beliau berkata, dokumen palsu berkenaan bukan tandatangannya dan tidak memiliki cop rasminya.

"Berikutan itu juga, saya bercadang untuk ke Pejabat SPRM setelah saya menemui bukti bagi kes ini," katanya.