SEREMBAN
- Seramai 430 peniaga di Pasar Besar Seremban dikecualikan bayaran sewa bermula
1 Ogos ini sehingga 31 Disember.
Menteri Besar, Aminuddin
Harun berkata ini bagi membantu meringankan beban peniaga yang kini mengalami
kerugian akibat kekurangan pengunjung sejak tingkat atas pasar tersebut
terbakar tahun lalu.
Katanya, pihaknya menerima rungutan daripada peniaga di pasar ini yang terpaksa
menanggung kerugian kerana kurang pembeli, selain masalah parkir yang sangat
terhad berikutan peniaga yang terjejas berniaga sementara di ruang parkir.
“Kita sedia maklum masalah
yang dihadapi peniaga di sini, sejak tingkat atas terbakar perniagaan mereka
agak merosot kerana kurang pengunjung.
“Disebabkan itu kita
setuju untuk memberi pengecualian bayaran sewa selama lima bulan bermula 1 Ogos
ini sehingga hujung tahun dengan bayaran antara RM100 sehingga RM200.
“Kerja-kerja pembinaan dan
naik taraf tingkat atas sudah memasuki 70 peratus dan kita berharap ia dapat
dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebelum Tahun Baru Cina tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian
ketika melawat di Pasar Besar Seremban pagi tadi.
Pada 9 September tahun
lalu, Pasar Besar Seremban terbakar menyebabkan keseluruhan tingkat satu musnah
dengan melibatkan sebanyak 197 gerai.
Berikutan itu, kerajaan
Negeri melalui beberapa kementerian terlibat memperuntukkan RM12 juta bagi
projek menaik taraf bahagian yang musnah tersebut.
Buat masa ini, kesemua
peniaga yang terlibat berniaga di perkarangan parkir Pasar Besar Seremban itu,
sementara menunggu kerja-kerja pembaikan siap sepenuhnya.
0 Komen