Penduduk dakwa aduan tidak dipeduli
Beginiah keadaan tanah runtuh yang menimpa kediaman Jagjeet (kanan) sejak November lalu.
Penduduk dakwa aduan tidak dipeduli
Kanvas digunakan MPS untuk menutup kawasan tanah runtuh.
SEREMBAN - “Tiada gunanya mengadu, jawapan diterima tetap sama,” demikian keluhan seorang penghuni Taman Chip Aik, di sini, yang kecewa terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan enggan mempedulikan masalah tanah runtuh dihadapi sejak November lalu.

Jagjeet Singh, 39, mendakwa, walaupun berkali-kali membuat aduan, tiada tindakan oleh PBT untuk menangani gelongsoran tanah di belakang rumahnya selepas tembok pengadang setinggi kira-kira dua meter yang dibina sejak 10 tahun lalu pecah dan runtuh.

“Dari  SMS, emel, panggilan telefon sehinggalah berjumpa sendiri dengan mereka. Namun, jawapan diterima cukup menghampakan.

“Menurut mereka, kerja pembaikan masih tidak dapat dijalankan kerana belum ada peruntukan,” katanya.

Jagjeet bagaimanapun berkata, penjelasan diberikan agak tidak masuk akal dan sukar diterima.

“Jika difikirkan secara logik, takkanlah dari November sehingga kini masih belum dapat peruntukan. Sedangkan seperti diketahui umum, Majlis Perbandaran Seremban (MPS)  mempunyai sumber kewangan kukuh.

“Wakil MPS pernah datang ke sini untuk meneliti kerosakan dan menutup runtuhan terbabit menggunakan kanvas. Namun, itulah kali pertama dan terakhir mereka berbuat sesuatu,” katanya.

Kata Jagjeet, dia bercadang  membaiki kerosakan dialami menggunakan wang sendiri, kemudian menuntut segala kos ditanggung daripada mereka. Malangnya, rancangan itu tidak dipersetujui MPS.

“Bayangkan, belakang rumah saya tidak ubah seperti kawasan air terjun. Bezanya, air turun mencurah-curah bercampur  tanah. Bagi mengelakkan masuk ke rumah, saya terpaksa pasang paip untuk menyalurkannya ke tempat lain," katanya.

Sementara itu, Adun Lobak, Siow Kim Leong  berkata, pihaknya mengajukan hal ini kepada MPS minggu lalu, tetapi menerima respons lebih mengecewakan.

“Jika dengan Jagjeet, mereka menjelaskan belum dapat peruntukan buat masa ini. Bagaimanapun, kita pula dimaklumkan sememangnya tiada peruntukan langsung untuk membantu Jagjeet.

“Oleh itu, saya akan berjumpa sendiri dengan pihak MPS minggu depan membincangkan hal ini supaya masalah dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.