Mudahkan orang ramai buat aduan
Mohd Talal (kiri) mengiringi Abu Ubaidah mengedarkan risalah berkaitan PPDNKK kepada peniaga di Bazar Ramadan Ampangan, petang kelmarin.
 
SEREMBAN – Bagi memudahkan orang ramai membuat aduan berhubung kenaikan harga barang, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) menempatkan kaunter khidmat pengguna di beberapa lokasi terpilih sekitar negeri ini.

Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Talal Abu Bakar berkata, kaunter khidmat pengguna yang ditempatkan pada waktu pagi serta dilengkapi alat timbangan itu akan beroperasi sepanjang Ramadan.

“Lokasi terpilih itu seperti Pasar Ampangan, Pasar Kuala Pilah, Pasar Port Dickson dan Pasar Besar Seremban.

“Sekiranya pembeli melihat harga dikenakan itu tinggi berbanding berat asal, pengguna boleh semak dengan menimbang semula berat barangan tersebut secara terus di kaunter PPDNKK disediakan supaya tindakan segera boleh diambil,” katanya ketika melawat Bazar Ramadan Ampangan sempena ‘Ops Harga 2013’  di sini, kelmarin.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, Abu Ubaidah Redza.

Mohd Talal berkata, selain itu, PPDNKK turut menempatkan kaunter sama tanpa alat timbangan di beberapa bazar Ramadan terpilih.

“Bazar Ramadan terpilih itu seperti di Seremban 2, Senawang, Ampangan, Paroi, Kuala Pilah, Batu Kikir dan Port Dickson.

“Kita juga menempatkan kaunter khidmat pengguna di pusat perdagangan terpilih seperti di Nilai 3, Bahau Square dan Tampin Square,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sejak kaunter ini dibuka.