21 Mac 2013
Maimon Mopo, 40, berketurunan Orang Asli dari Pahang mendirikan rumah tangga seawal 16 tahun namun suaminya itu sudah meninggal dunia sejak 10 tahun lalu akibat serangan jantung.
Menurutnya, dia tinggal bersama ibu mertuanya, Wong Thai, 94, memandangkan mendiang suaminya anak bongsu daripada 10 beradik.
"Setelah berkahwin saya dikurniakan tiga anak. Saya sudah menganggap ibu mertua seperti ibu sendiri.
"Apabila suami tiada, saya mengambil alih tanggungjawab menjaganya. Sejak sebulan ini, ibu tidak boleh berjalan dan hanya terlantar sahaja di katil," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Bukit Gelugor, kelmarin.
Maimon berkata, dia memerlukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban yang ditanggung.
"Bantuan itu diharap dapat menampung kos ubat-ubatan dan pembelian lampin pakai buang," katanya.
Katanya, dia akan tetapi menjaga ibu mertuanya hingga akhir hayat.
"Ini sudah tanggungjawab saya. Mungkin jika suami masih hidup, dia juga akan lakukan perkara sama seperti ini.
"Anak-anak juga sering menjenguk kami. Apabila tiba musim perayaan, adik beradik suami akan pulang berkumpul di rumah ini," katanya yang sudah memiliki tiga cucu.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Dun Juasseh menganjurkan lawatan Jalinan Mesra terhadap 10 rumah penduduk kampung Baru Bukit Gelugor yang terpilih.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Adun Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Baru Bukit Gelugor, Wong Ah Siew.
0 Komen