8 Mac 2013
Surau baru Bandar Dataran Segar yang siap dibina awal tahun ini tetapi tiada kemudahan tandas.
Rata-rata masyarakat Islam di kawasan ini memohon agar kerajaan menyalurkan peruntukan khas bagi menampung kos tambahan membina tandas di surau yang baru siap dibina.
Naib Pengerusi Surau, Mohd Sharif Pear Mohamad, 69, berkata, penyerahan kunci surau sudah pun dilakukan kepada ahli jawatankuasa surau oleh kontraktor pada 21 Februari lalu.
“Namun apa yang mendukacitakan kami, surau yang boleh memuatkan jemaah seramai 100 orang dalam satu masa ini tidak dilengkapi oleh kemudahan tandas.
“Apa yang dimaklumkan oleh kontraktor, peruntukan yang disalurkan sebanyak RM170,000 untuk membina surau tidak cukup untuk pembinaan kemudahan asas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Surau Bandar Dataran Segar semalam.
Mohd Sharif berkata, kontraktor ada memberitahu bahawa peruntukan hanya mencukupi bagi menampung kos untuk pembinaan tandas wanita sahaja.
“Tetapi akhirnya selepas pembinaan siap dan penyerahan kunci dilakukan, kedua-dua tandas pun tidak dibina.
“Ketiadaan kemudahan tandas memang mendatangkan kesukaran kepada pengguna surau dan amat berharap agar peruntukan segera disalurkan supaya kegunaan surau dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Katanya, selain surau, kemudahan pagar juga sangat diperlukan memandangkan terdapat banyak anjing yang berkeliaran di kawasan itu.
"Malah, kawasan parkir dan laluan masuk ke surau juga diharap dapat dibaiki berikutan keadaan tanah yang lecak sekiranya hujan mengundang ketidakselesaan pengguna.
"Oleh itu, kami harap kerajaan atau pihak berkenaan dapat memandang serius masalah ini dan mengambil tindakan segera," katanya.
Sinar Harian difahamkan, kos sebanyak RM170,000 ini adalah peruntukan yang disalurkan dari Jabatan Perdana Menteri melalui Adun Bagan Pinang untuk permasalahan rakyat.
Artikel Berkaitan
0 Komen