JEMPOL 18 Feb. - Pejabat Tribunal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri ini telah menerima 520 jenis aduan tentang barangan dan perkhidmatan bagi tahun lalu.
Ketua Seksyennya, Kasman Abdul Rahim berkata, daripada jumlah tersebut, pihaknya telah membuka kertas siasatan untuk 330 kes sahaja.
"Baki kes itu kita serahkan ke jabatan lain kerana bukan di bawah bidang kuasa KPDNKK. Daripada 330 kes, 170 kes merupakan aduan ketidakpuasan pengguna tentang perkhidmatan yang diterima.
"Antaranya ialah pengguna telah membayar sesi rawatan untuk menjadi kurus. Namun, selepas menjalani beberapa sesi yang ditawarkan, pengguna masih tidak mendapat berat yang ideal.
"Pengguna berhak untuk membawa kes ini kepada tribunal kerana mereka telah membayar perkhidmatan, namun gagal mendapat keputusan yang dijanjikan," jelasnya.



0 Komen