| |
| Mohd. Rusdi Ismail (tengah) menasihati pelajar sekolah yang tidak mematuhi peraturan jalan raya pada Program Advokasi Khas dan Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Dato’ Sedia Raja, Rembau, kelmarin. |
REMBAU 3 Jun – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri ini menyasarkan pengurangan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus pada tahun ini berbanding 2009.
Pengarahnya, Mohd. Rusdi Ismail berkata, langkah itu selari dengan hasrat JKJR untuk mengurangkan jumlah kematian terutamanya di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.
Katanya, berdasarkan statistik, 70 peratus daripada 334 kes kematian yang dicatatkan tahun lalu adalah berpunca daripada penunggang dan pembonceng motosikal.
‘‘Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan yang terbabit itu berumur dalam lingkungan 16 hingga 17 tahun.
‘‘Berpandukan kajian, kumpulan umur itu merupakan pelajar sekolah menengah dan faktor utama mereka terlibat dengan kemalangan adalah disebabkan kurang kesedaran tentang etika keselamatan jalan raya selain mengingkari undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Mohd. Rusdi berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan Program Advokasi Khas dan Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di Sekolah Menengah Dato’ Sedia Raja di sini, semalam.
Sehubungan itu, jelas Rusdi, pihaknya kini menjadikan pelajar sekolah menengah sebagai kumpulan sasar utama dalam menjalankan kempen kesedaran keselamatan jalan raya bagi tahun ini.
‘‘Tahap kesedaran kumpulan ini masih rendah terutamanya di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, penunggang dan pembonceng motosikal di kawasan luar bandar dilihat lebih bebas menunggang kenderaan itu tanpa memakai topi keledar dan lebih mendukacitakan tidak mempunyai lesen yang sah.
Justeru, Rusdi menyeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain pihak sekolah memberikan kerjasama dengan memantau aspek keselamatan anak dan pelajar mereka.
‘‘Ini penting jika ibu bapa sendiri tidak boleh menasihati anak-anak mereka siapa lagi yang mampu berbuat demikian,” tegasnya.
Pada program tersebut, kira-kira 30 penunggang motosikal ditahan untuk pemeriksaan selain beberapa pembonceng diarahkan menyerahkan topi keledar mereka yang tidak diluluskan pihak berkuasa untuk digantikan dengan topi keledar baru.
Di samping itu, beberapa penunggang motosikal turut dikenakan tindakan saman kerana melanggar peraturan jalan raya.


0 Komen