SEREMBAN 20 Dis. - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini dipilih sebagai destinasi kunjungan keempat program Jelajah Promosi Pendermaan Organ Negara di peringkat Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Upacara perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.
Lam Thye dalam ucapan ringkasnya berkata, program tersebut bertujuan memupuk sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menderma organ.
''Jelajah ini telah diadakan di Melaka, Kedah dan Sarawak dan bagi negeri ini kita telah memilih Usim sebagai salah satu destinasi untuk mempromosikan kempen menderma organ bagi Negeri Sembilan.
''Ini merupakan destinasi keempat jelajah ini dan merupakan penutup program promosi pendermaan organ pada tahun ini," katanya di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut berhubung senario pendermaan organ di negara ini, beliau memberitahu, rakyat Malaysia telah menunjukkan perubahan positif terhadap kesedaran menderma organ.
''Ini kerana kita dapat lihat wujudnya jumlah penderma dan pengikrar pendermaan organ dari tahun ke tahun.
''Statistik menunjukkan, sepanjang tahun ini jumlah pengikrar yang mendaftar sehingga bulan November mencatatkan seramai 25, 719 orang." katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan kepada statistik Pusat Sumber Pemindahan Kebangsaan, golongan berumur 11 hingga 30 tahun merupakan bilangan pengikrar paling ramai yang membabitkan jumlah 103,611 individu.
''Ini merupakan satu perubahan yang membanggakan kerana kesedaran di kalangan golongan muda untuk tampil mendaftar sebagai pengikrar semakin meningkat pada tahun ini," katanya.
Menurutnya, melalui pelaksanaan kempen kesedaran pendermaan organ yang dijalankan terutamanya menerusi media, ia telah berjaya meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi negatif rakyat sekali gus memperlihatkan respons positif terhadap pendermaan organ.
0 Komen