SEREMBAN 20 Dis. - Siasatan polis percaya tindakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Taman Rasa Sayang dekat Senawang di sini, memandu sebuah bas kilang tengah malam semalam, adalah kerana terdesak hendak melarikan diri selepas terlibat dalam satu pergaduhan di situ.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin berkata, remaja tersebut yang melalui kawasan itu secara kebetulan ternampak kunci kenderaan berkenaan ditinggalkan pemandunya lalu menghidupkan enjin dan memandunya.
"Berdasarkan siasatan awal, remaja terbabit dalam keadaan terdesak selepas bergaduh dengan sekumpulan remaja di taman itu. Remaja itu juga tidak tinggal di taman perumahan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menyiasat kemungkinan remaja itu mempunyai niat hendak menggunakan bas tersebut untuk melanggar kumpulan remaja yang bergaduh dengannya.
"Empat pemilik kenderaan yang rosak selepas dilanggar bas berkenaan telah membuat laporan polis semalam," ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan penduduk Taman Rasa Sayang di Senawang dekat sini gempar selepas sebuah bas kilang yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun tiba-tiba merempuh empat buah kereta diletakkan di taman perumahan itu, tengah malam Ahad lalu.
Kata Saiful Azly, remaja terbabit kini ditahan reman selama tiga hari sehingga hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
0 Komen