Sebahagian kanak-kanak dari Taman
Nilai Perdana yang menyertai bengkel celik solat menerusi program Belia
Islam Selamat dan Sejahtera anjuran USIM di Taman Nilai Perdana, Nilai,
Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Program anjuran penuntut yang menganggotai Pembimbing Rakan Universiti (PRU) USIM itu merupakan kerjasama antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT) penduduk taman berkenaan.
Pengarah program, Syazwani Salleh berkata, objektif pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk berkongsi ilmu, selain mengeratkan hubungan antara penduduk dengan penduduk sekitar.
''Pelbagai program telah diatur bersama penduduk kawasan berkenaan seperti bengkel membuat kek, jahitan manik, caklempong dan celik solat.
''Kami amat berbesar hati menerusi sambutan serta penyertaan daripada penduduk setempat yang meliputi pelbagai peringkat umur," katanya di sini baru-baru ini.
Syazwani berkata, pihaknya berharap untuk meneruskan program tersebut pada masa akan datang berikutan respons penduduk yang amat menggalakkan.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim memberitahu, usaha pihak USIM untuk mendekati masyarakat melalui program komuniti sedemikian amat dihargai dan dialu-alukan.
''BLISS menjadi salah satu platform bagi warga universiti untuk berkongsi kemahiran dan ilmu bersama penduduk setempat yang pastinya memberikan manfaat bersama," ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak 10 peserta berusia sembilan hingga 17 tahun terpilih untuk mengikuti bengkel kesenian alat muzik Negeri Sembilan iaitu permainan caklempong.
Bengkel berkenaan akan diadakan berasingan bertempat di kampus universiti itu yang dikendalikan oleh Urus Setia Kebudayaan Pelajar USIM.
0 Komen