KOTA KINABALU 21 Julai – Pertengkaran dipercayai menjadi punca isteri seorang anggota polis menembak suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di pangsapuri Cyber City Fasa 1 di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 9.40 pagi itu, Koperal Mohd. Fazly Meskan, 31, maut selepas tembakan yang dilepaskan isterinya, Noraini Wahiman, 28, menembusi dada mangsa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dan isterinya di dalam rumah mereka sehingga menyebabkan tembakan dilepaskan.
“Polis menerima aduan daripada orang awam mengenai bunyi tembakan di rumah mangsa dan segera menghantar anggota ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa terbaring di lantai ruang tamu rumah.
“Pergelutan dipercayai berlaku, namun siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca pertengkaran itu dan bagaimana pistol jenis Steyr berkenaan boleh digunakan serta motif utama tembakan dilepaskan,” katanya dalam sidang akhbar di tempat kejadian.
Salehhudin berkata, ketika kejadian, dua anak mangsa yang berumur 3 dan 5 tahun turut berada di rumah itu tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, mangsa berkhidmat sebagai anggota polis sejak 2010 dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Mayatnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.
Salehhudin menambah, isteri mangsa yang berasal dari Felda Sening, Kota Tinggi, Johor ditahan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
0 Komen