Port Dickson: Mayat kanak-kanak malang, Sofrina Husna Herry Judra
Jhcoendra, 11,yang lemas bersama sepupunya, Khairul Afrizal, 14, ketika
mandi bersama keluarga di Pantai 3, Telok Kemang, di sini, petang Ahad
lalu, ditemui jam 8.20 malam kelmarin.
Mayatnya ditemui terdampar oleh orang awam di Pantai 1, kira-kira 100
meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum dibawa ke Hospital
Port Dickson (HPD).
Pengarah Operasi Daerah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim V Pannir Selvan Veloo berkata, operasi mencari dan menyelamat hampir 30 jam itu ditamatkan sejurus mayat disahkan Sofrina Husna oleh ahli keluarganya.
“Pihak kami turut berterima kasih kepada peniaga dan pengunjung
yang sukarela membantu operasi mencari mangsa di persisir pantai,”
katanya.
Beliau berkata, Sofrina Husna adalah mangsa kedua yang lemas di pantai ini selepas sepupunya, Khairul yang berjaya diselamatkan oleh orang awam, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di HPD.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihati orang ramai terutamanya ibu bapa supaya tidak sambil lewa sebaliknya peka terhadap keselamatan ahli keluarga masing-masing ketika beriadah di pantai ini dan tidak menyerahkan sepenuhnya kepada agensi atau pasukan keselamatan bertugas.
“Pengunjung juga perlu peka dan apabila arahan kecemasan
dikeluarkan oleh pengawal pantai, mereka mesti mematuhinya. Kedegilan
pengunjung yang tidak menghiraukan amaran hanya akan merugikan mereka
dan besar kemungkinan tragedi lemas berulang,” katanya.
Difahamkan, selain operasi mencari dan menyelamat daripada pasukan keselamatan, bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan di kawasan pantai berhampiran lokasi oleh ahli keluarga atas inisiatif Persatuan Peniaga Pantai Telok Kemang sebelum membawa kepada penemuan mayat mangsa.
0 Komen