Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembinaan PR1MA dengan reka bentuk kondominium itu bertujuan memenuhi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah sendiri.
Beliau berkata, pembinaan PR1MA di situ akan membolehkan mereka yang berkenaan bekerja dan tinggal di kawasan bandar.
"Pembangunan tanah milik Perbadanan Aset Kereta Api seluas 32 hektar itu telah diluluskan mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri pada pertengahan bulan lalu.
"Pembangunan ini yang akan dikenali sebagai Daerah Perniagaan Baru bagi Seremban merangkumi pembangunan semula stesen kereta api Seremban dan pusat beli-belah serta perniagaan berdasarkan kepada model KL Sentral," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.
Menurutnya, pembangunan tanah kereta api itu bertujuan menampung pembesaran perbandaran Seremban yang semakin pesat saban tahun.
"Oleh itu, kita bercadang menggabungkan semua keperluan bagi memastikan pembangunan itu benar-benar memberikan manfaat kepada negeri dan daerah ini," ujarnya.
Mohamad menjelaskan, pembangunan itu akan dijalankan secara fast track dengan semua kementerian, agensi kerajaan dan kerajaan negeri bergabung di bawah satu jawatankuasa bertujuan melancarkan pembinaannya kelak.
0 Komen