SEREMBAN 1 Dis. - Malaysia dianggap sebagai salah sebuah destinasi pelaburan terpenting bagi Denmark apabila dengan kejayaan merekodkan hasil perdagangan mencecah 200 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun lalu.
Duta Denmark ke Malaysia, H.E Svend Waever berkata, pelaburan Denmark di Malaysia pada tahun 2010 berjumlah RM2.23 bilion.
''Malaysia merupakan antara lokasi perdagangan yang rancak dalam dunia buat masa ini. Pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia bagi tahun lalu sahaja mencatatkan sebanyak RM28 bilion.
''Maka sebab itu lebih 90 syarikat Denmark memilih Malaysia sebagai destinasi mereka untuk menjalankan perniagaan termasuk pengimport, pengedar dan agen kepada produk Denmark," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kilang Pengeluaran Produk FiberTex Personal Care's (Fibertex) iaitu kilang menghasilkan produk pembuatan lampin bayi, dewasa dan wanita di Nilai 3 di sini hari ini.
Menurut Waever, antara faktor yang menarik minat syarikat Denmark untuk bertapak dan melebarkan sayap mereka di negara ini berikutan perkembangan ekonomi tempatan berterusan, kerjasama komersial selain hubungan baik diplomatik antara dua negara ini.
''Ini dapat dibuktikan menerusi beberapa produk serta syarikat yang telah lama berada di negara ini seperti syarikat perkapalan Maersk Line; produk makanan, Sunquick dan Kledsens butter Cookies, Emborg Cheese dan produk farmaseutikal, Novo Nordisk
''Antara produk pengguna Denmark yang turut popular di negara seperti Lego, Pandora, Ecco Shoes dan Bang & Olufsen," ujarnya.
Mengulas lanjut berhubung pembukaan kliang pengeluaran Fibertex, Waevar berkata, kilang pengeluaran di Nilai itu merupakan kilang pertama syarikat itu dibuka di luar Denmark.
''Produk mereka mendapat permintaan yang meluas di seluruh dunia, di mana 80 peratus dieksport ke merata dunia," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fibertex, Peter Andersen berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 55,000 tan material bagi penghasilan lampin bayi, dewasa dan tuala wanita setahun menerusi pembukaan kilang barunya itu.
''Jumlah tersebut merupakan lebih 50 peratus kapasiti produk yang dikeluarkan oleh Fibertex setahun,'' jelas Andersen.


0 Komen