SEREMBAN
10 Mei - Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan
apabila memperoleh 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
BN yang menang 22 kerusi DUN pada PRU-13, hilang enam
daripadanya iaitu Pilah, Ampangan, Klawang, Labu, Lenggeng dan Paroi.
Enam belas kerusi yang dimenanginya ialah Serting, Jeram Padang, Palong,
Pertang, Sungai Lui, Juasseh, Senaling dan Seri Menanti. BN turut menang di
Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemencheh.
Keputusan itu menyaksikan gabungan pembangkang PKR membentuk
kerajaan buat kali pertama di negeri ini selepas memperoleh 20 kerusi.
DAP dijangka menjadi parti paling berpengaruh dalam kerajaan
negeri kelak apabila memenangi semua 11 kerusi ditandinginya, berbanding PKR
lima dan PAN empat. Sebuah lagi parti, PPBM gagal mendapat sebarang kerusi.
Bagi kerusi Parlimen pula, BN menang tiga daripada lapan kerusi
iaitu Rembau, Jempol dan Jelebu. Bagaimanapun, dua kerusi iaitu Kuala Pilah dan
Tampin yang sebelum ini milik BN dirampas PKR.
Kedua-dua kerusi ditandingi pemimpin berpengalaman, Datuk Seri
Hasan Malek yang tewas dengan majoriti 200 undi di Kuala Pilah, manakala Datuk
Seri Shaziman Abu Mansor kecundang dengan 1,002 di Tampin.
Gabungan pembangkang PKR terus mengekalkan pengaruh di Parlimen
Seremban, Rasah dan Port Dickson apabila menang dengan majoriti lebih besar.
Pengerusi gabungan pembangkang negeri, Aminuddin Harun ketika
mengumumkan kemenangan itu malam tadi berkata, parti tersebut akan memohon
perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk membentuk kerajaan negeri
dalam masa terdekat.
Sudah tentu ada pemimpin baru akan menerajui mandat negara dan tidak kurang ada juga yang meninggalkan rakyat termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada tengah malam tadi, beliau yang lebih mesra dipanggil ‘Tok Mat’ itu mengambil kesempatan untuk bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang menyokongnya selama ini.
Rata-rata netizen di laman media sosial meluahkan rasa hiba dan sedih apabila mendapat tahu mengenai keputusan tersebut. Ini kerana ramai yang berkata beliau telah banyak berjasa dan melakukan yang terbaik untuk negeri itu namun keputusan adalah muktamad.
Menurut seorang pengguna Facebook, Tok Mat telah melakukan tanggungjawab sebaik mungkin ketika menguruskan pimpinan dan pentadbiran di negeri itu. Namun mungkin disebabkan pucuk pimpinan utama, rakyat terpaksa menolak kerajaan pusat secara menyeluruh.
0 Komen