SEREMBAN - Bukan mudah untuk PH termasuk PKR menewaskan Umno
pada PRU14, sekali gus mencipta rekod sejarah tersendiri kepada negara.
Namun, bermula dari situlah, boleh dilihat siapa yang
benar-benar pejuang dan siapa yang mula mencari ruang.
Itulah yang diumpamakan penyandang Ketua Cabang Rembau, Yusof Tapar pada
pemilihan PKR kali ini apabila ramai mula mencuba nasib bertanding dan menonjolkan
diri khususnya di kawasan Rembau.
Secara tiba-tiba cabang berkenaan jadi tumpuan apabila berlaku
pertembungan paling ramai iaitu lima penjuru yang menampilkan Yusof
sendiri, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Mohd Nazree Mohd Yunus; penyandang Timbalan Cabang Rembau, Shahrulnizam Idris;
Ketua Cabang Rasah, R Tangam dan Muhamad Zakir Hassan.
“Bila dah menang dan memerintah saja, maka timbullah ‘panglima
kesiangan’ mengatakan dia hebat itu dan ini.
”Selama dua penggal sebagai Ketua Cabang, saya tak nampak pun
ada apa-apa isu, tapi baru sekarang timbul sebab kita dah menang.
“Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Jangan pula sekarang nak cari faedah untuk kepentingan sendiri,” katanya ketika
dihubungi Sinar Harian.
Mengenai dakwaan calon Ketua AMK Cabang Rembau, Mohd Effendi Mat
Aris ada ‘tangan ghaib’ yang cuba campur tangan dalam pemilihan PKR di kawasan
itu, Yusof berkata, dia tidak tahu mengenai isu tersebut dan menyifatkan cerita
sebegitu hanya mahu menegangkan suasana.
“Saya tak tahu tangan ghaib dimaksudkan dan bagi saya sesiapa
pun boleh bercakap.
“Cuma, bila keluar cerita itu saya sebagai penyandang
seolah-olah dilihat sebagai pemimpin yang tak pandai jaga kawasan.
“Saya berjuang dalam parti sudah 20 tahun, sebelum kita
memerintah lagi. Saya nak tanya di mana orang-orang ini dulu? Kenapa baru sekarang
bercakap itu dan ini, cuba menonjolkan diri?,” soalnya.
Bagaimanapun Yusof berkata, kenyataan itu tidak memberi kesan
kepada kepadanya, tetapi bertegas dimahukan bukti sekiranya merujuk kepada
dirinya.
Jelasnya, beliau tidak pernah melakukan apa-apa penyelewengan
terhadap parti, malah sanggup menjual keretanya demi parti.
“Jangan cuba meraih simpati orang kerana nak sokongan. Dalam
pertandingan perlulah jujur dan saya pun tak kisah bila tiba-tiba cabang
Rembau ini jadi tumpuan pula, ramai nak bertanding.
“Saya tak suka berjanji kerana saya tahu itu semua bohong. Biar
kita buat sedikit demi sedikit dan kemudian baru lebih besar,” katanya.
0 Komen