Hujan tidak, tapi banjir kilat
Aliran air yang memenuhi halaman rumah Azizah masih belum surut di Kampung Repah, semalam.
Hujan tidak, tapi banjir kilat
Md Ali menunjukkan arah air arus deras yang menyebabkan dua rumah kedai dan sebuah rumah berhadapan dengan banjir kilat.
TAMPIN – "Tidur kami lima sekeluarga tengah malam tadi terganggu apabila menyedari sudah berada di atas tilam yang basah setelah air bergenang di dalam rumah kedai,". Luah Md Ali Abdullah, 50, ketika ditemui di premis rumah kedai di Kampung Repah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, dua buah kedai dan sebuah rumah berhadapan dengan masalah banjir kilat separas betis apabila paip pecah di tepi jalan utama berhampiran persimpangan masuk jalan Tampin-Air Mawang.

Berikutan kejadian itu, pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) datang sekitar jam 2 pagi bagi menutup paip air yang pecah.

Md Ali berkata, dia berasa pelik berikutan ketika kejadian tidak berlaku hujan, tetapi rumah dinaiki air.

Menurutnya, dia bergegas membuka pintu hadapan dan terperanjat apabila air menderu masuk ke dalam kedainya yang turut menjadi tempat tinggal mereka sekeluarga.

"Saya panik melihat air deras mengalir masuk ke dalam kedai sebelum menjerit mengejutkan anak dan jiran.

"Saya juga berusaha menyelamatkan barangan dan dokumen penting namun barangan runcit, kasut dan lain-lain sudah hanyut dibawa air," katanya.

Sementara Azizah Baharom, 65, berkata, pada malam kejadian dia masih belum tidur susulan berkumpul bersama anak, menantu dan cucu yang pulang ke kampung.

"Mak cik terkejut apabila mendengar jeritan jiran yang menyatakan berlakunya banjir.

"Air naik ke paras betis dalam sekelip. Ketika itu mak cik dengar bunyi seperti arus sungai. Mujur ada anak-anak yang pulang membantu menyelamatkan barangan di kawasan rendah," katanya.

Pekedai, Ahmad Ali Yusof, 57, berkata, dia hanya datang melihat keadaan kedainya kira-kira jam 6.30 pagi dan tidak menyangka kejadian paip pecah menyebabkan banjir buruk seperti itu.

Menurutnya, di bahagian hadapan kedai yang sudah diusahakannya sejak 20 tahun lalu, selut tanah setebal 10 sentimeter sudah memenuhi ruangan berkenaan sehingga dia terpaksa menggunakan cangkul bagi membersihkan kawasan berkenaan.

"Sebelum ini jika hujan lebat, memang ada air yang akan melimpah ke bahagian hadapan kedai, namun belum pernah lagi masuk ke dalam," katanya.

Ahmad berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi masalah itu lebih-lebih lagi mereka juga perlu meneruskan operasi perniagaan.

"Susulan kejadian ini saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1,000," katanya.