Ini disebabkan bot dan peralatan menangkap ikan yang diletakkan di pengkalan nelayan masing-masing mengalami kerosakan.
Nelayan, Lee Ching Dong, 26, berkata, dia menambat bot fiber yang baru dibeli kira-kira lima tahun lalu di Pengakalan Nelayan Telok Sinting.
“Bot itu rosak teruk yang mana bahagian dindingnya pecah berikutan dipukul ombak besar dalam kejadian ribut malam tadi,” katanya.
Ching Dong berkata, kejadian angin ribut dan laut bergelora kuat itu berlaku sekitar jam 7 malam.
“Saya hanya menyedari bot rosak selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan nelayan. Saya sangka hanya berlaku sedikit kerosakan tetapi rupa-rupanya dinding sampan pecah dan tidak boleh digunakan lagi.
“Buat sementara ini, saya akan ikut ayah turun ke laut menggunakan botnya untuk aktiviti nelayan, " katanya.
Menurutnya, hanya itu yang mampu dia lakukan sebelum membeli bot baru.
Bagaimanapun, untuk membeli bot baru ia memerlukan modal yang besar.
“Saya berharap akan ada bantuan yang disalurkan sama ada dari persatuan mahupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), " katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang, Aznam Ali berkata, mana-mana nelayan di bawah PNK Telok Kemang yang mengalami kerosakan
bot dan peralatan nelayan akibat bencana semalam boleh mengemukakan surat permohonan bantuan kepada LKIM.
“Bagaimanapun surat permohonan itu perlu melalui PNK Telok Kemang dan pihaknya akan terus mengajukan permohonan itu kepada LKIM.
“Nelayan perlu membuat laporan polis terlebih dahulu berhubung kejadian itu dan mengemukakan surat dalam tempoh 60 hari selepas hari kejadian. Permohonan akan dipertimbangkan oleh LKIM mengikut peruntukan yang sewajarnya,” katanya.
0 Komen