Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Julia Osman, 26, maut di tempat kejadian manakala suaminya Abdul Rahman Abu Bakar, 27, cedera parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan berat sebelum terbabas dan berada pada kedudukan melintang di lorong kanan jalan.
Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal kereta yang dipandu oleh wanita terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Semenyih, Selangor selepas pulang bercuti di kampung suaminya di Muar.
“Namun ketika memandu di lorong kiri, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan berat di lorong sama.
“Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa terbabas dan melintang di kanan jalan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang mengalami cedera parah pada bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan anggota bomba terpaksa mengambil masa beberapa minit mengeluarkannya.
Jurucakap berkata, suami mangsa pula mengalami cedera parah pada bahagian kepala serta tangan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu katanya, keadaan kereta Perodua Viva yang berada di lorong laju menyebabkan dua pemandu lain nyaris maut ketika cuba mengelak kereta terbabit.
“Pada awalnya sebuah kereta Toyota Altis berwarna hitam yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun berjaya mengelak kereta Perodua Viva terbabit namun terbabas dan langgar pembahagi jalan.
“Manakala wanita memandu Toyota Altis berwarna putih gagal mengelak lalu bergesel bahagian belakang Perodua Viva,” katanya.
Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah Seremban atau Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033222.
0 Komen