Jambatan kembali mendap
Penduduk terpaksa mengambil risiko melalui jambatan yang sudah mendap dan berlubang di Kampung Rendah.
 
REMBAU – Rata-rata penduduk melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila jambatan yang baru sahaja diturap susulan berlubang di Kampung Rendah, dekat sini kini kembali mendap.

Sebelum ini Sinar Harian 18 April lalu melaporkan kebimbangan penduduk terhadap masalah lubang di jambatan berkenaan yang semakin besar menyebabkan struktur jalan juga mendap sedikit demi sedikit.

Penduduk, Radziah Ujang, 73, berkata, selepas pilihan raya umum lalu, jalan berkenaan sudah pun dibaik pulih, namun masalah berulang kembali susulan hujan lebat pada minggu lalu.
Menurutnya, kenderaan berat yang sering melalui jalan ini juga dilihat antara faktor ia kembali rosak.

"Bagaimanapun, kami kesal berikutan ia baru sahaja diperbaiki dan seharusnya kerosakan tidak berulang dalam waktu singkat.

"Oleh itu kita harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil langkah pembaikan yang lebih bersesuaian membabitkan struktur di bawah jambatan bagi mengelakkan masalah jalan mendap dan berlubang berulang lagi," katanya.

Maulud Bahudin, 73, pula berkata, laluan itu sememangnya menjadi jalan utamanya.

"Laluan ini berbahaya kepada pengguna yang tidak menyedari kewujudan lubang berkenaan lebih-lebih lagi pada waktu malam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rendah, Mohamed Shukor Abas berkata, pihaknya sememangnya sedia maklum dengan masalah berkenaan dan sudah dimaklumkan kepada Pejabat Daerah.

“Diharap penduduk akan bersabar sementara menunggu masalah ini diselesaikan kerana ia membabitkan peruntukan yang agak besar," katanya.