Naib Pengerusi PBPM negeri, Mohd Zin Siron berkata, pihaknya menerima maklumat berlangsungnya mesyuarat agung PBPM cawangan Rembau Ahad lalu, sedangkan PBPM tidak menerima sebarang maklumat mesyuarat tersebut.
“Mesyuarat dan program yang berlangsung pada hari itu bukan anjuran PBPM sebaliknya ada individu menggunakan nama persatuan untuk menganjurkan program.
“Kita sudah melakukan siasatan dan mereka yang menganjurkan mesyuarat tidak sah itu bukanlah ahli PBPM dan tidak mempunyai sebarang jawatan dalam persatuan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PBPM negeri di Jalan Rahang, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha PBPM negeri, Zulkifli Yusof dan Pegawai Kerja PBPM negeri, Roslan Abdul Jalil.
Menurutnya, mahkamah mengisytiharkan Presiden PBPM adalah Shafie Bakri, Timbalan Presiden adalah Prof Dr Hassan Yusof manakala Setiausaha Agung adalah Rohani Ahmad Jalis.
“Kepimpinan peringkat negeri dan cawangan tertakluk di bawah keputusan ahli majlis tertinggi diketuai presiden PBPM dan diiktiraf mahkamah,” katanya.
Mohd Zin berkata, PBPM negeri menasihatkan individu itu berhenti melakukan perbuatan yang tidak berfaedah yang boleh mengelirukan pemimpin dan ahli PBPM negeri.
“Saya nasihatkan agar mereka tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana pemimpin kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai penipuan atau salah guna kuasa serta mencemarkan nama persatuan dan pemimpin,” katanya.
Katanya, PBPM negeri sedang menimbang untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.
0 Komen