Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, mangsa, Shaharudin Ismail, 46, dan Rohaizal Jamaludin, 42, berjaya diselamatkan empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 5 Kuala Linggi yang sedang berkawal dalam Operasi Satria Selatan.
Shaharudin berkata, dia dan rakannya pergi di panggar kupang dengan menaiki bot seorang nelayan dari jeti nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang di Telok Sinting kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, ketika itu, cuaca tenang, namun kira-kira jam 6 petang, ribut mula melanda.
“Beberapa minit kemudian, panggar kupang dipukul ombak dan saya terus mendapatkan bantuan menerusi telefon bimbit.
“Selepas itu, saya menerima panggilan daripada anggota Maritim sebelum diselamatkan kira-kira jam 9.15 malam,” katanya.
Ketua Penguatkuasa Maritim DM5, Kapten Maritim Abu Bakar Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.30 malam.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke jeti Maritim Kuala Linggi pada jam 10 malam dan ditenangkan sebelum dihantar pulang ke jeti nelayan PNK Telok Kemang ,” katanya.
Panggar kupang runtuh satu persatu
Sementara itu, Pengurus Besar PNK Telok Kemang, Aznam Ali berkata, selepas dipukul ombak, sebahagian besar panggar kupang yang berusia hampir tiga tahun itu runtuh satu persatu dan terus tenggelam.
Menurutnya, panggar kupang yang roboh itu sebahagian besarnya milik PNK Telok Kemang yang dibina dan diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada 2010.
“Panggar kupang ini dibina dengan struktur buluh yang dijadikan sebagai lantai dan kayu nibong sebagai tiang. Jangka hayat struktur panggar kupang ini adalah sekitar empat tahun.
“Namun disebabkan ribut luar biasa malam tadi (semalam), struktur panggar kupang tidak kukuh mengakibatkan sebahagiannya iaitu meliputi laluan 1 dan rumah tumpang roboh. Tetapi laluan 2 masih elok,” katanya.
Aznam berkata, berikutan kawasan panggar kupang menjadi daya tarikan kepada kaki pancing, PNK Telok Kemang membuka ruang tersebut.
“Dalam sebulan sekurang-kurangnya 50 hingga 80 kaki pancing akan datang ke panggar kupang. Dalam pada itu, PNK Telok Kemang tetap meletakkan syarat hanya individu yang mengutamakan aspek keselamatan dibenarkan berada di panggar kupang selain PNK Telok Kemang turut menyediakan jaket keselamatan serta boya keselamatan kepada kaki pancing.
“Begitu juga dengan insiden yang melibatkan dua kaki pancing itu, PNK Telok Kemang membekalkan mereka jaket keselamatan serta boya dan semasa kejadian kedua-dua mangsa memakai jekat keselamatan sehingga bantuan sampai,” katanya.
Panggar Kupang PNK Telok Kemang ditutup
Aznam berkata, buat masa ini, Panggar Kupang PNK Telok Kemang ditutup untuk sebarang aktiviti sehingga peruntukan untuk membina panggar kupang baru daripada LKIM diterima.
“Peruntukan untuk membina panggar kupang baru diusahakan dan diharap LKIM akan melihat perkara ini dengan lebih serius dengan menyegerakan kelulusan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata, projek panggar kupang adalah projek percubaan pertanian dan ia dilihat satu projek yang berjaya berikutan hidupan seperti kerang, tiram, kupang dan lalah membiak dengan baik.
Mangsa dibekalkan jaket keselamatan
Dalam pada itu, nelayan, Hashim Mahat, 56, berkata, dia adalah individu yang membawa dua mangsa (Shahrudin dan Rohaizal) ke panggar kupang.
“Kami bertolak dari Jeti Nelayan PNK Telok Kemang di Telok Sinting dan ketika pergi keadaan laut tenang dan cuaca cerah.
Mereka berdua memaklumkan akan pulang semula ke darat pada jam 10 hari ini (semalam)," katanya.
Menurutnya, jarak pagar kupang dengan kawasan darat adalah kurang daripada 400 meter.
"Sebelum saya meninggalkan mereka, saya ada membekalkan mereka jaket keselamatan dan boya keselamatan. Ketika kejadian mereka ada menghubungi saya memaklumkan apa yang berlaku sekitar jam 7 malam dan saya segera menghubungi pihak Maritim untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya.
Katanya, sejak panggar kupang dibina itu adalah kejadian pertama yang berlaku.
“Mujur tiada insiden kemalangan jiwa berlaku. Jika LKIM salurkan peruntukan panggar kupang dapat dibina lebih sempurna dan saya mencadangkan agar ia turut dijadikan dwi fungsi sebagai kelong memancing,” katanya.
0 Komen