Terbabas langgar tiang elektrik   
Keadaan Proton Kancil yang terbabas melanggar tiang elektrik di kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin, semalam.

REMBAU – “Saya baru sahaja ingin bergerak pulang ke rumah, namun secara tiba-tiba saya lihat sebuah kereta Perodua Kancil dari arah Rembau terbabas merempuh tembok longkang sebelum melanggar tiang elektrik,” kata saksi kejadian, Abdul Rahman Abdul Rahim, 62, ketika ditemui di Pekan Chengkau, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, mangsa seorang lelaki dan perempuan berusia 20-an dipercayai dalam perjalanan ke kediamannya di Taman Seri Bentan, Merlimau, Melaka sebelum terbabas di kilometer 30, Jalan Seremban-Tampin.

Abdul Rahman berkata, sebaik melihat kejadian itu dia dan orang awam membantu mengeluarkan mangsa memandangkan pintu di bahagian pemandu tidak boleh dibuka.

"Pemandu itu cedera di bahagian dada susulan stereng keretanya patah manakala seorang lagi mangsa masih terkejut," katanya.