'Bakal pengantin' menyamun
Kedai perabot yang menjadi mangsa samun tiga lelaki, petang kelmarin dengan salah seorang daripadanya berpura-pura menjadi bakal pengantin di Pekan Pedas.
REMBAU – Kunjungan tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan termasuk salah seorangnya bakal pengantin yang mahu membeli set bilik tidur rupa-rupanya hanya taktik licik bagi menyamun seorang peniaga di Pekan Pedas, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, V Indira, 51, tidak menyangka niat buruk kumpulan lelaki berkenaan kerana mereka nampak bersungguh-sungguh mahu membeli set bilik tidur pengantin di kedainya.

Menurutnya, selepas itu mereka bertanyakan sama ada set berkenaan dilengkapi dengan tilam atau tidak.

"Mereka memaklumkan mahu tilam jenis spring sebelum mengekori saya masuk ke bahagian belakang kedai untuk melihat tilam berkenaan.

"Bagaimanapun sebaik sampai di peti ais dapur, salah seorang lelaki berkenaan menolak saya. Saya yang terkejut terus menjerit meminta tolong," katanya ketika ditemui di kedainya, dekat sini, semalam.

Indira berkata, dia turut dimarahi penyamun berkenaan selain berbual dalam bahasa Tamil memandangkan dia tidak begitu memahami bahasa berkenaan.

"Mereka turut mencekik saya sebelum mengeluarkan parang panjang dari belakang badan. Malah mulut saya juga ditutup dengan tangan mereka.

"Namun saya bernasib baik apabila kelibat sebuah motosikal yang berhenti di depan kedai membuatkan penyamun melarikan diri setelah dimaklumkan oleh seorang rakan mereka yang menunggu di ruang hadapan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, penyamun berkenaan sempat melarikan beg tangan miliknya dan mengalami kerugian kira-kira RM800, lesen memandu dan kad bank.

"Saya sempat mengejar mereka yang melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna namun kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.