Pintu pagar yang dipotong penyamun sebelum melarikan diri ke kawasan kebun berhampiran.
Rasidah menunjukkan tempat menyimpan dulang hantaran tembaga lama yang dilarikan penyamun yang memecah masuk rumahnya di Kampung Bukit Kledang, semalam.
Rasidah Rasid, 36, berkata, dia menghubungi suaminya Azuwan Mihan, 31, memintanya suaminya itu pulang lebih awal ke rumah pusaka mereka kerana berasa ada sesuatu yang berlaku di kediaman itu.
Menurutnya, ketika itu dia sedang bekerja di Tol Simpang Ampat dan suaminya hanya memaklumkan kejadian itu selepas dia pulang dari tempat kerja pada jam 9 malam kerana tidak mahu dia berasa bimbang.
“Jika diikutkan dalam rumah ini sememangnya tidak ada barangan berharga. Namun, penyamun berkenaan melarikan kira-kira tujuh dulang hantaran tembaga dan alatan bagi merenjis pengantin yang merupakan pusaka turun-temurun keluarga kami.
“Hanya barangan berkenaan sahaja yang diambil dan penyamun berkenaan dipercayai melarikan diri menggunakan pintu di bahagian dapur dan mengikut pagar yang menghala ke kawasan kebun di belakang rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Rasidah berkata, jika diikutkan kediaman berkenaan sudah tiga kali dimasuki penyamun dan pada kejadian terbaru ini penyamun mengumpil di dua tempat dalam rumah ini sebelum memasukinya.
“Mungkin pada kali pertama penyamun mengumpul di bahagian tengah rumah dan membuka tiga papan namun tidak berjaya memasukinya kerana terdapat almari diletakkan di lokasi berkenaan.
“Jadi, penyamun mengumpil bahagian tingkap papan rumah berdekatan ruang tamu dan masuk melalui lokasi berkenaan untuk menyelongkar bahagian dalam rumah, " katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes berkenaan kini masih dalam siasatan.


0 Komen