Gerak hati selamatkan rumah pusaka
Kalimah menunjukkan bahagian rumahnya di Kampung Rendah yang terbakar semalam.
REMBAU – Gerak hati seorang warga emas untuk segera pulang ke rumahnya di Kampung Rendah, dekat sini, petang kelmarin selepas membantu merewang kenduri di rumah saudaranya berjaya menyelamatkan rumah pusakanya berusia lebih 50 tahun dari rentung terbakar.

Kalimah Harun, 68, berkata, pada mulanya dia dinasihatkan oleh seorang saudara untuk bermalam sahaja di rumah saudaranya itu memandangkan cucu yang dijaganya, Farisya Natasha Mohd Fadzli, 11, menyertai program berkhemah di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, dia menolak pelawaan berkenaan kerana tergerak hati untuk pulang segera ke rumahnya lebih-lebih lagi dia belum menunaikan solat Asar dan ingin melakukannya di rumah sahaja.

“Sebaik tiba di kawasan rumah, mak cik ternampak kepulan asas, mak cik ingat jiran sebelah membakar sampah. Tapi, sebaik sahaja mak cik membuka pintu rumah berdekatan bahagian dapur, mak cik terdengar bunyi benda meletup-letup.

“Tidak lama selepas itu, mak cik lihat api sudah marak membakar dinding papan dapur rumah mak cik yang terletaknya peti suis utama dan terus menjerit meminta pertolongan jiran serta saudara yang tinggal berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, di sini, petang kelmarin.

Kalimah berkata, sambil meminta pertolongan, dia menarik paip getah dan menyemburkan air di bahagian yang terbakar dan saudara mara serta jiran turut membantu memandam kebakaran sementara menunggu anggota bomba dan penyelamat tiba.

Susulan kejadian, lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Abdul Jalil Jasin bergegas ke lokasi berkenaan.