17 Januari 2013
Kamaludin Md Tahir atau mesra dipanggil Din berkata, dia kini mula bergerak di bawah nama Din Galeri Square dan melangkah lebih jauh dalam dunia seni halus yang sebenarnya sudah lama sebati dalam dirinya.
"Keputusan saya terjun dalam bidang ini tidak sia-sia kerana walaupun pada mulanya agak sukar, namun ia tidak menjadi halangan untuk muncul sebaris dengan mereka yang sealiran dengan saya," katanya.
Daftar diri dengan BSLN
Kamaludin berkata, untuk bergelar seorang pelukis berjaya, selain berbekalkan bakat anugerah ALLAH, pengurusan ke arah menjadi pelukis sangat dititik beratkan.
"Sebaik melangkah menjadikan seni sebagai kerjaya selepas tentera, saya mendaftarkan diri dengan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) sebagai artis.
"Dari situ, kerjaya saya semakin berkembang dan mula menerima sokongan daripada pelbagai pihak sama ada jabatan kerajaan mahupun swasta," katanya.
Anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini bagaimanapun mengakui, dia sememangnya bergerak secara solo tanpa bantuan dana daripada mana-mana pihak kecuali daripada BSLN yang membayar habis sebanyak RM5,000 pada 2010.
"Selebihnya, saya menerima sokongan daripada pelbagai jabatan melalui surat pengesahan dan pengiktirafan.
"Dari situ, saya berjaya menguruskan kerjaya seni dan diterima pelbagai penganjur program, pengurusan hotel dan syarikat swasta," katanya.
Ddifahamkan, Din dimaklumkan oleh BSLN bahawa setakat ini dia adalah satu-satunya pesara tentera yang berdaftar di bawah BSLN.
Tidak fokus pada satu tema
Melihat pada setiap hasil karya milik Din, dia sebenarnya tidak mengongkong dirinya untuk fokus kepada satu tema seni lukisan sahaja.
"Saya boleh melukis apa sahaja tema dengan baik mengikut permintaan pelanggan.
“Semasa usia belasan tahun, saya mula melukis gambar berkaitan bola sepak yang menampilkan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan juga bekas penjaga gol kebangsaan, mendiang Datuk R Arumugam.
"Saya menonton televisyen dan mengingati gambaran itu kemudian melukis menggunakan pensel," katanya yang menjadikan guru seni lukisnya, Ang Kim Keat sebagai pemberi semangat.
Walau bagaimanapun katanya, kebanyakan permintaan daripada pelanggannya adalah gambar berilustrasikan suasana dan adat kesenian yang ada di Malaysia.
"Gambar potret juga turut mendapat tempahan yang banyak selain lukisan abstrak dan imaginasi," katanya yang menggunakan teknik lukisan cat minyak.
Aktif hasilkan model tentera
Selain melukis di atas kanvas, Din juga aktif melakarkan seni karyanya di dinding sebagai mural, di kayu lapis dan lukisan kayu.
"Sekarang saya juga aktif menghasilkan model tentera yang mana suatu hari nanti akan ditempatkan di Muzium Tentera Darat.
"Secara lisan, saya sudah pun berbincang dengan Pengarah Muzium dan beliau memberi sokongan penuh," katanya.
Katanya, untuk terus mengembangkan bakat yang dimiliki, dia turut menawarkan khidmat nasihat dalam bidang seni, malah pelajar sekolah juga ramai yang datang kepadanya untuk menimba ilmu seni lukis.
"Minat yang mendalam dalam bidang seni juga menjadikan saya kini aktif mencipta beberapa jenis lagu dan hanya menunggu masa untuk dikomersialkan," katanya.
0 Komen