17 Januari 2013
Bagaimanapun hasrat itu terpaksa dilupakan berikutan masalah kewangan yang dihadapinya.
Ashaari Sharif, 25, berkata, selain lumpuh, dia juga mengidap penyakit di bahagian usus ketika berusia 14 tahun dan sejak itu dia tidak dapat bersekolah.
Menurutnya, pada awalnya doktor tidak dapat mengesan penyakitnya sehinggalah dia membuat rawatan kali kelima dan disahkan mengidap penyakit apendiks, namun sudah pecah.
"Akibat lewat mendapat rawatan, usus saya masih berasa sakit sehingga kini dan hanya bergantung kepada ubat tahan sakit," katanya.
Ashaari tinggal bersama neneknya, Napsiah Rasul, 80 dan bapa saudaranya, Mohd Yusuf Abdul Rahman, 51, di Kampung Juasseh Pekan selepas kematian ibunya pada 2 Julai 2011 akibat kegagalan buah pinggang.
Ashaari berkata, pada 2010, dia sekali diuji oleh-Nya apabila kedua-dua belah kaki tidak boleh berjalan.
"Doktor sahkan saya lumpuh dari paras pinggang hingga ke kaki kerana urat saraf di bahagian tulang belakang mengalami masalah.
"Selepas itu, saya terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak," katanya.
Dia berkata, berikutan kehidupannya yang sukar, dia terpaksa pergi sendirian ke hospital untuk menerima rawatan dengan menggunakan pengangkutan awam.
“Saya pergi ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital di Putrajaya dan Hospital Tuanku Jaafar seorang diri menaiki teksi. Walaupun terpaksa berkerusi roda, saya tidak kisah kerana mahu sihat seperti dahulu.
“Jika hendak ke Putrajaya, saya akan menyewa teksi sehingga ke Keretapi Tanah Melayu Seremban,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, dia pernah memohon pekerjaan untuk menampung kos rawatannya yang menelan belanja RM1,000 sebulan, namun tidak berjaya.
"Mungkin disebabkan tiada kelulusan SPM menyebabkan tiada orang sudi mengajikan saya," katanya.
Katanya, wang yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM270 sebulan hanya cukup untuk kos perubatannya.
"Oleh itu, diharap ada pihak yang sudi menolong saya sama ada menampung kos rawatan mahupun perbelanjaan untuk bersekolah seperti dahulu," katanya.
0 Komen