Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
bhnews@bharian.com.my
2010/06/11
Promosi punca bangunan bersejarah kurang pengunjungSEREMBAN: Muzium Negeri Sembilan tidak begitu mendapat sambutan sepanjang minggu pertama cuti persekolahan selama dua minggu ini walaupun terletak di lokasi strategik di Jalan Sungai Ujong, iaitu di pintu masuk bandar ini.
kebanyakan pengunjung yang ditemui di muzium itu mendakwa keadaan itu berpunca daripada kegagalan pihak muzium mengadakan aktiviti menarik sepanjang cuti sekolah itu
enuntut, Nor Ain Muhammad, 20, berkata dia datang melawat muzium itu kerana tertarik dengan keunikan reka bentuk bangunan muzium.
Bagaimanapun, dia hairan kerana tidak ramai pengunjung datang dan tidak ada kakitangan yang memberi penerangan kepada pengunjung.
“Saya hanya berpandukan papan maklumat yang disediakan di setiap kawasan pameran. Adalah lebih baik jika ada kakitangan di kawasan pameran untuk membantu pengunjung yang mahu mendapatkan maklumat lebih mendalam,” katanya.
Beliau mencadangkan muzium mengadakan pelbagai program ketika cuti persekolahan untuk menarik lebih pengunjung datang, terutama pelajar.
Muzium Negeri Sembilan ditubuhkan pada 1953 apabila Istana Ampang Tinggi, Kuala Pilah dipindahkan ke Taman Bunga di Jalan Dato' Hamzah, di sini untuk dijadikan muzium dan kemudian dipindahkan ke lokasi sekarang pada 1984.
Seorang lagi pengunjung, K Mano, 53, mahu Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) mengadakan lebih banyak program untuk menarik minat pengunjung.
“Saya datang untuk memenuhi permintaan anak. Saya percaya muzium ini akan lebih meriah jika ada program seperti pameran yang sepatutnya diadakan pada waktu sesuai seperti cuti persekolahan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, mengakui ketiadaan program atau promosi pelancongan pada musim tertentu seperti cuti persekolahan menyebabkan tidak ramai pengunjung datang ke muzium.
Katanya, pelbagai program perlu diadakan bagi menarik kehadiran pelancong dan tidak hanya bergantung kepada agensi promosi pelancongan untuk menjalankan tugas itu.
“Cuti persekolahan adalah waktu terbaik untuk menarik pengunjung. Bukan saja cuti persekolahan di negara ini, malah, musim cuti di negara jiran juga perlu diambil kesempatan untuk menarik pelancong dari negara berkenaan.
“Banyak aktiviti boleh dianjurkan seperti pameran atau pertandingan membabitkan pelajar sekolah. Saya akan meneliti perkara ini dan melakukan sesuatu untuk mengubah kalendar pelancongan negeri ini. Namun, setiap agensi kerajaan terbabit perlu berusaha menjayakan program yang dirancang,” katanya.


0 Komen