SEREMBAN 10 Jun – Kejohanan Jemputan Golf Masters Negeri Sembilan kembali buat kali keenam dengan menjanjikan edisi lebih menarik demi memastikan ia bertaraf kejohanan golf professional terbesar negara.
Sebagai permulaan, kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 15 Julai ini menawarkan hadiah kemenangan keseluruhan berjumlah RM500,000.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan, Datuk Mat Ali Hassan yang juga merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pemain terbaik negara dan rantau ini ke kejohanan tersebut.
“Kami juga berbangga untuk mengumumkan kenaikan hadiah kemenangan tahun ini sebanyak RM100,000 yang membuktikan pembangunan memberangsangkan kejohanan ini.
“Pastinya, kemajuan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan padu dari penaja utama KL Metro Group dan penaja bersama Salcon Engineering Berhad,” ujarnya di sini hari ini.
Kejohanan tersebut bermula pada 2005 dengan gagasan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memacu sektor pelancongan negeri dengan penganjuran kejohanan golf professional bertaraf antarabangsa.
Pada tahun pertama kejohanan, hadiah yang ditawarkan cuma RM150,000 sebelum meningkat kepada RM400,000 pada tahun lalu dan RM500,000 tahun ini.
Kejohanan itu pasti menarik penyertaan ramai pemain golf memandangkan ia merupakan kejohanan golf professional pertama negara yang tersenarai sebagai salah satu kejohanan dalam kalendar Jelajah Pembangunan Asia (Asian Development Tour).
Pengarah Kejohanan, Datuk Mohd. Yaacob Mohd. Kassim, yang juga merupakan Kapten Kelab Golf Antarabangsa Seremban berkata, keputusan untuk bekerjasama dengan Jelajah Pembangunan Asia akan turut menaikkan prestij kejohanan selain memberi peluang kepada pemain-pemain muda negara untuk bertanding di peringkat lebih tinggi.
“Ini adalah perkembangan yang mengujakan untuk kejohanan ini dan kami percaya ia akan menaikkan profail kejohanan.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan di mana beliau merupakan individu yang memacu pembangunan pesat kejohanan.
‘‘Jawatankuasa penganjur akan memberikan segala usaha untuk menjayakan kejohanan tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Jelajah Asia, Kyi Hla Han tidak menafikan kejohanan Jemputan Masters Negeri Sembilan adalah salah satu kejohanan golf yang amat berjaya di Malaysia.
“Kami bangga dapat memberi sokongan dan terlibat dalam kejohanan ini. Adalah satu kebanggaan bagi kami untuk Jemputan Masters menjadi sebahagian dari kalendar Jelajah
| Mohd. Yaacob Mohd. Kassim (tiga dari kanan) bersama penaja di Royale Bintang, Seremban, semalam. |
Pembangunan Asia.
“Dengan kerjasama ini, kami akan berganding bahu bersama jawatankuasa penganjur Masters Negeri Sembilan untuk membangunkan kejohanan ini. Tambahan pula ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain profesional muda untuk bersaing dalam Jelajah Asia,” katanya.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, edisi keenam akan berlangsung di Kelab Golf Antarabangsa Seremban.
Juara kejohanan terdahulu terdiri daripada Lam Chih Bing dari Singapura (2009), Benjie Magada dari Filipina (2008), Juvic Pagunsan dari Filipina (2007), M. Murugiah dari Singapura (2006) dan C. Wasa dari Jepun (2005).


0 Komen