Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Sabtu lalu, Jauwahir baru sahaja pulang menemani kakaknya ke kafe siber di bandar ini sebelum memutuskan untuk melalui jalan pintas ke rumahnya, sementara kakaknya mengikut laluan hadapan rumah.
Menurutnya, dia yang jelas ketakutan cuba melarikan diri dan menjerit memanggil ibunya, Rosiah Ismail, 49, namun semasa melarikan diri, dia terjatuh dan anjing yang besar hampir menyamai saiz badannya, menggigit hujung kaki seluar jeansnya serta mengheretnya sejauh lebih 10 meter.
“Saya menangis dan memang benar-benar takut dengan insiden ini. Sebaik sahaja anjing itu melepaskan hujung kaki seluar saya, saya berlari menuju ke rumah yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Akibat kejadian itu, saya cedera di lutut dan siku kanan kerana terjatuh serta diseret.
Bagaimanapun, saya berasa sangat lega kerana anjing berkenaan tidak menggigit saya dan hanya hujung seluar sahaja,” katanya ketika ditemui di Taman Repah Baru, dekat sini, semalam.
Ketika ditanya, Jauwahir bagaimanapun tidak pasti jenis anjing yang menyerangnya itu.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar berkata, pihaknya memandang serius mengenai masalah berkenaan dan akan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Menurutnya, sekiranya ianya membabitkan anjing liar, pihak berkuasa tempatan itu akan mengambil tindakan.
"Bagaimanapun, kita akan minta Jabatan Vaterinar untuk menyemak mengenai pemberian lesen anjing di kawasan taman perumahan bagi keselesaan penduduk," katanya.
0 Komen