'Pilih harta atau nyawa'
Anak Amer, Nur Azmi Nudin, 31, mengalami cedera dibahu selepas dipukul penyamun.
'Pilih harta atau nyawa'
Amer Zaharin menunjukkan besi tingkap yang dipotong penyamun terbabit sebelum memasuki rumahnya.
JOHOL  - “Pilih, sama ada harta atau nyawa,” kata salah seorang dari empat penyamun yang memecah masuk rumah peniaga kedai runcit, Amer Zaharin Zainal Abidin, 53, di Kampung Dingkir Inas, di sini, awal pagi, semalam.

Amer Zaharin berkata, kejadian berlaku jam 5.10 pagi ketika semua ahli keluarga sedang tidur.

“Saya tidur jam 3 pagi  dalam bilik bersama isteri dan anak perempuan.

“Manakala, anak lelaki tidur di bilik sebelah. Pada waktu itu, secara tiba-tiba, saya terdengar suara isteri saya menjerit dan mengejutkan saya bangun. Bila buka sahaja mata, sebilah parang telah berada di leher saya. Anak perempuan saya juga terjaga,” katanya.

Dia cuba berlawan dengan penyamun namun  tidak berjaya malah dipukul oleh tiga lagi penyamun selain di tendang di bahagian dada.

“Waktu itu, suspek meletakkan parang di leher anak perempuan saya. Akhirnya saya terpaksa diam. Suspek yang menutup muka menggunakan baju mengikat kami sekeluarga di tangan, di kaki, mulut disumbat dengan cebisan tuala dan kepala kami ditutup guna kain selimut.

“Kami hanya dengar suara mereka bercakap loghat  Indonesia meskipun cuba berdialek Melayu,” katanya.

Menurutnya,  seminggu sebelum kejadian, dia didatangi dua warga Indonesia yang membeli rokok dan salah seorangnya adalah suspek yang menyamun rumahnya.

“Seorang daripada mereka masuk menggunakan tingkap selepas batang besi tingkap dipotong kemudian, tiga cermin tingkap dikeluarkan. Selepas menyelinap masuk, saya percaya suspek membuka pintu belakang rumah untuk membenarkan tiga lagi rakannya masuk rumah, "  katanya.

Amer Zaharin berkata, penyamun berkenaan menggeledah rumahnya dan memaksanya memberitahu tempat menyimpan barangan berharga.

“Suspek berjaya mengambil dua pasang subang, dua utas rantai leher, gelang tangan syiling seutas, tiga jam tangan, kad prabayar RM800, rokok berjumlah RM230, wang tunai RM8,000, beg tangan berjenama, enam telefon bimbit, seunit PSP, dan laptop Asus.

“Kesemua jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM25,000.

“Saya cedera di bahagian kaki akibat dipukul guna kayu begitu juga dengan anak lelaki,” katanya.

Menurutnya, kesemua penyamun keluar dari rumahnya jam 5.55 pagi mengikut pintu belakang dengan menaiki sebuah kenderaan.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian.

Menurutnya,  keempat suspek membawa sebilah parang pendek berukuran 0.9 meter, pemotong besi dan kayu panjang 1.6 meter.

Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang memburu suspek yang melarikan diri.