Penduduk, P Raman, 47, berkata, susulan keadaan itu, mereka penduduk terpaksa berhadapan dengan masalah bau busuk dan air najis melimpah di jalan taman berkenaan.
“Memang ada pihak bertanggungjawab datang ke sini selepas laporan Sinar Harian pada 15 Mac lalu, namun mereka hanya menyedut air najis dan tindakan ini tidak mampu mengatasi masalah berkenaan.
“Sebelum ini memang ada banyak pihak datang meninjau masalah tersebut, namun ianya masih belum dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Zahar Mohamad Nor, 42, pula berkata, selain masalah kumbahan, pagar di kawasan berkenaan juga dipenuhi dengan semak.
Menurutnya, bagi menyelesaikan masalah itu, dia ada berjumpa dengan wakil rakyat setempat pada Selasa dan Jumaat minggu lepas, namun tidak berhasil.
“Saya cuba bertemu pada pagi, tengah hari dan petang, namun Yang Berhormat (YB) tiada di pejabat.
"Saya berharap sangat agar YB dapat turun padang dan berusaha menyelesaikan masalah ini," katanya.
Sementara itu, Adun Repah, S Veerapan berkata, pihaknya memang sudah mengetengahkan masalah berkenaan dalam persidangan Dun sejak penggal lalu bagi perhatian kerajaan negeri.
Menurutnya, setiap kali penduduk membuat aduan, pihak bertanggungjawab sememangnya mengambil tindakan membaik pulih, namun masalah itu berulang lagi kerana saluran kumbahan berkenaan memerlukan kerja-kerja naik taraf yang menelan kos tinggi.
“Jika diikutkan sudah lebih 10 kali aduan dibuat dan pihak berkenaan ada datang mengambil tindakan. Namun ianya tetap berulang selagi tidak dinaik taraf. Kita sudah sedia maklum mengenai masalah ini.
“Malah, jika penduduk di Dun Repah ingin berjumpa saya, mereka boleh datang ke pejabat saya pada Selasa dan Khamis ataupun pada Sabtu dan Ahad. Sekiranya saya tiada pada Selasa dan Khamis, penduduk yang mempunyai aduan tidak perlu risau kerana masalah berkenaan akan direkodkan oleh kakitangan saya," katanya.
0 Komen