Keadaan treler muatan papan lapis seberat 22 tan yang terbalik di atas jalan utama di Kilometer 3.5, Jalan Tampin-Gemas, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa, Aminudin Ahmad, 25, cedera ringan di bahagian kaki.
Menurutnya, ketika kejadian, dia baru sahaja menyambung perjalanan menghantar papan lapis setelah singgah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Repah.
“Sebaik melalui satu selekoh tajam, saya mula merasakan papan lapis yang diletakkan di bahagian belakang bergerak dan terjatuh sedikit demi sedikit.
“Mujur ketika kejadian tiada kenderaan di belakang treler dan saya hanya cedera ringan sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, kelmarin.
Aminudin berkata, dia sudah menjadi pemandu treler sejak dua tahun lepas.
“Dari pagi saya sudah memulakan perjalanan dengan menghantar papan lapis dari Temerloh, Pahang ke Gemas dan selepas itu, menyambung perjalanan ke Klang," katanya.
Susulan insiden berkenaan, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira jam 1.55 petang.
Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Sani Ithnin berkata, susulan terdapat minyak tumpah dari treler itu, pihaknya mengambil masa selama 10 minit bagi membersihkannya dan akan menunggu di lokasi ini sehingga pembersihan muatan kayu yang terjatuh selesai.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain dan hanya muatan papan dari treler berkenaan sahaja yang terjatuh di atas jalan utama.
“Pemandu treler berkenaan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas mengalami cedera ringan di bahagian kaki dan rasa sakit di belakang badan," katanya.


0 Komen