Rumah sewa jururawat terbakar
Keadaan rumah sewa jururawat yang terbakar, malam kelmarin.
TAMPIN – Sebuah rumah sewa jururawat yang terletak berhampiran Rumah Rehat Tampin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tampin di bandar ini terbakar dalam kejadian lewat malam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.14 malam itu, jururawat berkenaan bagaimanapun tiada di kediaman berkenaan memandangkan kesemuanya pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti hujung minggu.

Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Sani Ithnin berkata, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 11.14 malam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita terpaksa memecahkan pintu rumah bagi mengawal kebakaran daripada merebak kerana ketika itu penghuninya tiada di rumah.

“Kita berjaya mengawal kebakaran serta mendapati hanya terdapat satu perkakasan elektrik yang rentung dan kebakaran dianggarkan hanya 10 peratus. Bagaimanapun, punca kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.