Peniaga dakwa dimalukan polis
Kee Chin mendengar penjelasan daripada Zain (kiri) sewaktu bertemu pada sidang media, semalam.
 
SEREMBAN – Tiga lelaki mendakwa mereka terpaksa menahan rasa malu di hadapan awam apabila dilayan seperti seorang penjenayah oleh pihak berkuasa yang tiba-tiba menyerbu dan membuat pemeriksaan terhadap mereka ketika sedang makan di sebuah restoran di Seremban 2, di sini pada 7 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam tiga petang itu, seorang peniaga R&R di sini yang mahu dikenali sebagai Zain bersama pemandu dan pegawai khasnya sedang menikmati makan tengah hari sebelum terlihat beberapa anggota polis berpusing-pusing di sekeliling kereta Exora miliknya.

“Walaupun berasa curiga, tetapi kami makan dan berbual saja seperti biasa. Namun secara tiba-tiba sekumpulan anggota polis yang lengkap beruniform dan bersenjata itu menuju ke arah kami dan meminta MyKad.

“Kami beri kerjasama sepenuhnya kerana tiada apa yang perlu ditakutkan, lagi pun kami bukan penjenayah,” katanya.

Bagaimanapun perasaan kurang senang mula timbul apabila tubuh badan mereka juga diperiksa dan kereta milik Zain diselongkar.

“Setelah hampir setengah jam berlalu, salah seorang pegawai polis itu minta maaf sambil berkata, kami silap orang,” katanya pada sidang media yang dibuat di pejabat Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin, di sini, semalam.

Turut serta, Kee Chin dan seorang peguam.

Zain berkata, kejadian tersebut menyebabkan dia dan dua pekerjanya terpinga-pinga dan malu, apatah lagi ia disaksikan orang awam yang turut berada di dalam restoran tersebut.

“Secara logiknya, jika saya ini penjenayah, sudah pasti saya akan melarikan diri apabila terlihat ramai polis.

“Lebih memalukan apabila pemilik kedai makan itu turut terperanjat dengan situasi yang berlaku dan mula melihat kami dengan pandangan serong,” katanya.

Disebabkan insiden tersebut, mereka membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 pada jam 5 petang hari yang sama dan berharap pihak berkuasa dapat memohon maaf secara terbuka kepada mereka bertiga.

Sementara itu, Kee Chin berkata, pihaknya telah menghantar surat memohon penjelasan kepada pihak berkuasa pada 17 Jun lalu, namun sehingga kini masih tiada jawapan.

Katanya, sekiranya masih tiada sebarang respons daripada pihak berkuasa mengenai isu tersebut, mungkin tindakan undang-undang akan diambil.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Baharudin Mustapha berkata, pihaknya sedia maklum dengan kejadian tersebut dan menegaskan bahawa tindakan anggotanya itu adalah berlandaskan undang-undang, serta mengikut prosedur yang betul.

“Dalam menjalankan tugas, setiap anggota akan bersiap sedia termasuklah dengan penggunaan senjata api bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Penggunaan senjata api itu adalah sebahagian daripada tugas kita dalam melaksanakan pemeriksaan. Malah polis akan sentiasa bersiap sedia (memegang senjata) dalam melaksanakan apa jua tugas, kerana kita bimbang sekiranya semasa pemeriksaan itu berlangsung pihak tersebut memiliki senjata.

“Saya percaya tindakan anggota saya hadir ke tempat itu dan membuat pemeriksaan terhadap mereka adalah di atas aduan yang diterima, dan pihak kita hanya datang untuk membuat pemeriksaan terhadap mereka yang disyaki sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, pihak polis mempunyai kuasa untuk membuat pemeriksaan terhadap mana-mana individu yang disyaki, malah itu bukanlah merupakan satu kesalahan, dan orang awam yang menjalani pemeriksaan seperti itu tidak perlu malu dengan apa yang berlaku.