Tanah kubur dicemari najis
Abd Latif melihat keadaan tanah perkuburan Islam kampung Ulu Gentam yang tidak berpagar.
 
KUALA PILAH – Penduduk Kampung Ulu Gentam memohon kepada pihak berkaitan supaya membina pagar di kawasan tanah perkuburan Islam, di sini kerana ia sering menjadi lokasi haiwan ternakan tidur dan ada kalanya dipenuhi najis lembu.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ulu Gentam, Abd Latif Lajid, berkata, sejak 1960 an lagi kawasan tanah perkuburan ini tidak pernah dipagar.

“Tanah perkuburan ini dibuka pada 1960 dan sejak itu jugalah kawasan ini tidak berpagar malah, rumah wakaf juga tidak sempurna bagi membolehkan ahli kariah masjid menyimpan peralatan seperti cangkul dan sebagainya.

“Wakaf sedia ada tiada fungsinya kerana bila waktu hujan, bumbungnya sudah bocor dan usang. Jadi sememangnya kami (ahli kariah) mohon kepada pihak berkaitan dapat membantu menyediakan keperluan bagi tanah perkuburan Islam serta pagar bagi mengelakkan haiwan ternakan masuk ke tanah perkuburan,” katanya.

Menurutnya, keadaan jalan menuju ke kawasan tanah perkuburan juga tidak bertar sehingga menyukarkan van jenazah membawa jenazah ke tanah perkuburan.

“Tanah perkuburan terletak di atas bukit, jadi bila tanah bukit, ia ada berlubang sana sini. Van jenazah juga tidak boleh sampai ke atas, akibat keadaan tanah tidak rata.

“Kawasan tanah ini seluas satu ekar tiga suku. Masih banyak lagi kawasan belum diterokai dan dipenuhi pokok-pokok besar. Jadi bila ada pihak luar yang hendak bersihkan kawasan bersebelahan tanah ini, kami meminta pertolongan bersihkan kawasan kubur,” katanya.

Abd Latif juga berharap pihak berkaitan dapat membina teres di kawasan tanah perkuburan supaya lebih sempurna.

“Bila kita bina teres, senang untuk kita membawa jenazah ke tanah perkuburan dan kedudukan kubur juga teratur.

“Selain itu, bila sudah bina teres, jalan itu juga dapat ditar dengan sempurna selain mengekalkan kebersihan kawasan perkuburan,” katanya yang akan berusaha mengadakan gotong-royong bagi membersihkan kawasan tanah perkuburan sempena Aidilfitri nanti.

Beliau juga berharap aduan yang dibuat dapat didengari dan diambil perhatian oleh pihak berwajib demi menjaga tanah perkuburan Islam Kampung Ulu Gentam.