TAMPIN 17 Nov. - Keputusan Pusat Fidlot Nasional (NFC) membeli kondominium di Bangsar, Kuala Lumpur menggunakan wang pinjaman projek ternakan lembu merupakan satu langkah yang bijak dalam mengukuhkan kewangan syarikat itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail berkata, berdasarkan kepada kajian syarikat itu, sekiranya wang berkenaan disimpan di dalam bank ia hanya akan memberi pulangan sebanyak 2.6 peratus berbanding sektor hartanah.
Katanya, pelaburan dalam sektor hartanah di kawasan mewah itu dibuat memandangkan ia mampu menjana keuntungan pada masa depan.
"Apa yang dapat kita lihat melalui pelaburan sektor hartanah yang dibuat, ia dijangka mampu memberi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 12.9 peratus. Malah rebat tunai dan sewaan untuk tahun pertama sebanyak RM900,000 disalurkan kepada syarikat dan bukannya untuk individu.
"Pada masa sama masih ada projek membabitkan perniagaan ternakan lembu NFC yang belum dilaksanakan. Jadi, sementara menunggu pelaksanaan projek itu, geran berkenaan perlu dilabur supaya mendapat keuntungan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Ladang NFC di Gemas di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli mendakwa syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu menyalahgunakan dana NFC sebanyak RM250 juta untuk membeli seunit kondominium mewah dengan harga RM9.8 juta.
Malah beliau turut mendakwa pihak pengurusan syarikat berkenaan terlibat dengan perbelanjaan Shahrizat selain membenarkan pembelian lembu secara kredit pada 2008 kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan juga pemberian kepada dua tokoh politik di negeri ini.


0 Komen