GEMAS: Pengerusi Eksekutif Nasional Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail menafikan isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, mempunyai pengaruh dalam pengurusan syarikat, termasuk kelulusan pinjaman mudah bernilai RM250 juta daripada kerajaan untuk menguruskan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN).
“Antara saya dan isteri hanya membincangkan soal berkaitan anak dan pendidikan. Soal lain, terutama projek dan politik tidak pernah menjadi keutamaan kepada saya walaupun saya menyokong isteri 100 peratus dalam politik,” katanya.
Beliau turut menafikan Shahrizat menyertai rombongan pengurusan syarikat ke luar negara yang didakwa menelan belanja RM827,579.
“Kami jarang mengunjungi luar negara bersama keluarga. Sebagai menteri, isteri saya mengunjungi banyak negara atas urusan kerja kerana menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin negara,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan beberapa pihak termasuk daripada Barisan Nasional (BN) yang meminta Shahrizat melepaskan jawatan kerana projek NFC dikecam pembangkang yang mendakwa wujud penyelewengan dana kerajaan, Mohamad Salleh berkata beliau tidak boleh menjawab bagi pihak isterinya.
“Biar Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Shahrizat sendiri yang menjawab dan memutuskan perkara itu. Saya hanya suaminya. Dia tidak bincang soal politik dengan saya walaupun kami sudah hidup bersama selama 31 tahun. Apapun tindakan beliau, saya sentiasa menyokong 100 peratus,” katanya.
NFC pertimbang ambil tindakan mahkamah
PENGURUSAN National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pemimpin pembangkang jika terus membuat tuduhan tidak berasas berhubung operasi dan kewangan syarikat berkenaan.
“Saya perlu berunding dulu dengan peguam serta mendapat pandangan ahli keluarga berhubung perkara ini. Kita tidak perlu tergesa-gesa. Secara jujur, saya tiada rasa hendak marah, cuma kasihan dengan pihak berkenaan terutama (Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat) Rafizi Ramli yang membuat tuduhan seperti itu.
“Jika tuduhan itu diteruskan (selepas penjelasan syarikat), kita mungkin meneliti mengambil tindakan undang-undang,” kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail. Sidang media turut dihadiri Peguam NFC, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah; Perunding Korporat dan Kewangan NFC, Zakaria Mohamed dan Pengarah NFC, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh.
Mohamad Salleh berkata, pada awalnya mereka sekeluarga terkejut dengan tuduhan pembangkang kerana tidak mengenali Rafizi, tetapi akhirnya beliau dan keluarga menyedari semuanya bermotif politik.
“Saya kasihan pada dia, kalau hati perut tidak baik, anda akan sengsara... bagi kami... kami tidak buat salah dan kami menggunakan semua sumber menjalankan projek ladang ternakan ini.
“Projek ini tidak gagal kerana kami baru tiga tahun beroperasi dan ada 27 tahun sebelum disambung 30 tahun lagi... mungkin Rafizi pandai tetapi tidak tahu mengenai pengurusan perniagaan,” katanya.
Sementara itu Wan Shahinur Izmir yang juga anak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, ketika diminta mengulas, berkata beliau tidak marah kerana dakwaan itu tidak tepat.
Sebaliknya, beliau sedih kerana masyarakat dikelirukan dengan maklumat yang salah sehingga memberi persepsi negatif terhadap syarikat dan keluarga mereka.
“Saya mahu jemput Rafizi datang melawat dan meneliti perkembangan ladang kami, bukannya menjerit dan memekik di luar sana,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique menjelaskan pusat khidmatnya tidak berhutang dengan NFC kerana semua pembelian lembu korban tiga tahun lalu sudah dibayar sepenuhnya.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail bahawa pihaknya masih berhutang RM70,000 dengan NFC adalah palsu.
Beliau juga menyifatkan kenyataan itu berniat jahat dan manipulasi fakta yang cuba menimbulkan keresahan politik kononnya beliau seorang yang tidak amanah.
“Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa ada membeli 25 ekor lembu bernilai RM70,000 sempena sambutan Aidiladha pada 2008. Lembu itu diserahkan oleh NFC pada 6 Disember 2008.
“Bagaimanapun, invois harga pembelian itu hanya dikeluarkan pada 17 Disember 2008 menerusi faks ke pusat khidmat pada 28 Januari 2009,” katanya dalam kenyataan semalam


0 Komen